Isu diprotes tidak beri manfaat kepada rakyat, kata Anifah

Isu diprotes tidak beri manfaat kepada rakyat, kata Anifah

Tindakan Datuk Seri Anifah Aman yang tidak meninggalkan Dewan Rakyat hari ini adalah kerana isu yang dibangkitkan dan diprotes itu tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Ahli Parlimen Kimanis itu, berkata, beliau akan bertindak keluar bersama-sama beberapa rakan pembangkang yang lain sekiranya tidak berpuas hati dengan mana-mana isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Kita telah menzahirkan rasa tidak setuju dan puas hati terhadap proses pelantikan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof hari ini.

“Saya menghormati pandangan dan pendirian rakan-rakan pembangkang lain namun berpendapat serta merasakan tidak perlu untuk bertindak meninggalkan dewan pagi ini.

“Malah, saya hanya akan bertindak dalam isu-isu yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, Anifah mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ariff di atas pelantikan beliau.