Isu dividen TH: Laporan dan teguran Bank Negara berasas, kata Salahuddin

Isu dividen TH: Laporan dan teguran Bank Negara berasas, kata Salahuddin

Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan laporan dan teguran asal Bank Negara kepada Lembaga Tabung Haji adalah berasas, kata Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub.

Amanah telah mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan pihak pengurusan TH di ibupejabat TH di Jalan Tun Razak semalam.

“Pertemuan ini bagi menunaikan tanggungjawab kami sebagai penyemak imbang kepada persoalan yang melingkari badan penyimpan dana terbesar umat Islam di negara ini disamping mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi agensi itu berkaitan teguran oleh Bank Negara Malaysia.

“Setelah hampir 2 jam perbincangan dan mendengar penjelasan yang diberikan oleh pihak TH, AMANAH berpandangan bahawa laporan dan teguran asal Bank Negara berasas. Oleh itu perlu kepada usaha penambahbaikan secara terancang dan tersusun demi mengukuhkan TH,” ujarnya.

Satu kenyataan rasmi dijangkaa akan dikeluarkan selepas pihak TH mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2015 kepada kira-kira 9juta pendepositnya.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir, Setiausaha Organisasi Suhaizan Kaiat, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, dan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim.

Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga turut hadir bersama.

Pada Januari lalu terbongkar maklumat mengatakan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah mengutuskan surat bertarikh 23 Disember tahun lalu, yang memberitahu paras rizab TH negatif dan tidak akan dapat membayar9 uta pencarum sebarang dividen tahun ini, jika TH tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini.

Lantas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Januari berkata, TH akan mengumumkan bonus pada awal Februari 2016 setelah melalui proses-proses dalaman dan auditan interim seperti lazimnya setiap tahun.

Namun Jamil Khir ketika memberi respon kepada pengumuman itu memberitahu (TH) akan merangka draf pengumuman pembayaran dividen selepas mendapat kelulusan daripada Ketua Audit Negara.

Semalam (LTH) mengumumkan mampu untuk membuat pembayaran dividen kepada pendepositnya berdasarkan semakan Jabatan Audit Negara terhadap penyata pendapatan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 dan maklumat interim yang diterima.

Satu kenyataan daripada ketua audit negara menyebut ahli lembaga pengarah TH bertanggungjawab menetapkan kadar dividen TH tahun 2015.

TAGS