Malaysia Dateline

Isu DUN Melaka bubar ke mahkamah minggu ini

Pakatan Harapan (PH) Melaka akan membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu ke mahkamah pada minggu ini.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, ia bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta berkenaan pembubaran itu dapat dilakukan.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, pihaknya akan menggunakan jalan perundangan bagi menghalang PRN daripada diadakan.

“PH Melaka akan terus menggunakan ruang perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adly yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, kelewatan membuat pemfailan di mahkamah adalah kerana warta pembubaran DUN hanya diserahkan kepada ADUN hari ini.

“Bagaimanapun PH Melaka akan tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk PRN,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dengan hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.