Malaysia Dateline

Isu eBazar: Wujud kemungkinan pemerintahan kuku besi di Johor

Kerajaan negeri Johor pada 17 April 2020 yang lalu telah mengumumkan berkenaan dengan eBazar yang akan diberikan kepada dua syarikat lantikan mereka bagi menguruskan sistem tersebut.

Namun perkara itu telah menimbulkan persoalan berkenaan kuasa yang telah dihadkan terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata tindakan melantik dua syarikat untuk mengendalikan bazar Ramadan secara atas talian tersebut secara langsung bakal mengenepikan peranan serta pengalaman besar yang dipunyai PBT dalam mengendali Bazar Ramadan sebelum ini.

Ujarnya, kerajaan Johor harus memberikan kuasa tersebut kepada PBT bagi mengendalikan bazar tersebut kerana mereka mempunyai pengalaman dalam menguruskan mana-mana bazar Ramadan sebelum ini.

“PBT lebih dekat dengan pengusaha Bazaar Ramadan, lebih memahami masalah yang dihadapi mereka serta dapat bertindak balas dengan lebih baik dan cepat, jika timbul sesuatu isu.

“Memperkenal satu sistem baru dalam keadaan tidak menentu amat berisiko kepada pengusaha Bazaar Ramadan, apatah lagi dalam keadaan syarikat yang bakal dilantik oleh kerajaan, samada punyai pengalaman dan track record yang baik mengendali urusan sebegini.

“Apa-apa yang ingin dilaksana kerajaan perlu mengambil kira pandangan orang ramai serta pemegang taruh tempatan seperti Pejabat Daerah, PBT, wakil rakyat bagi mengurang risiko yang bakal dihadapi. Akhirnya mereka ini tempat rakyat mengadu bila terdapat kelemahan dalam pelaksanaan,” ujarnya.

Berkenaan perkara tersebut, Adun Perling, Cheo Yee How telah mempersoalkan berkenaan kemungkinan wujudnya pengaruh kuku besi dalam pentadbiran kerajaan Johor hari ini.

“Syarikat itu pun kita tidak dimaklumkan berkenaan pengalamannya dan sekiranya ia berkemampuan bukanlah hak kerajaan Johor untuk meletakkan syarikat tersebut sehingga mengambil alih kuasa PBT.

“Ini dilihat seperti wujudnya dua kuasa dalam mengendalikan eBazar sepanjang Ramadan ini. Selain itu PBT yang diberikan hak hanya untuk menjaga sistem penghantaran sahaja adalah suatu yang tidak munasabah.

“Selain itu peniaga bazar yang ingin menggunakan khidmat penghantaran selain yang ditetapkan juga menjadi persoalan, bagaimana mereka boleh memastikan bahawa penghantaran ini berjalan dengan lancar kerana ia membabitkan sepuluh daerah di seluruh negeri.

“Kerajaan perlu pertimbangkan semula serta memberi peluang kepada peniaga untuk mengadakan cara mereka sendiri dan kerajaan hanya perlu mewujudkan pusat setempat eBazar berkenaan sahaja,” katanya lagi.

Sebelum ini dalam satu kenyataan media pada 21 April 2020 yang lalu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Johor, Aminolhuda Hassan telah mempertikaikan soal ketelusan lantikkan dua syarikat berkenaan.