Tular tahun lepas apabila usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman menyatakan bahawa ada bekas menteri yang bergelar Tan Sri berhutang puluhan juta dengannya.
Tidak hanya itu, Aliff turut memuat naik gambar dipercayai bekas menteri berkenaan, namun menutup bahagian mukanya.
Disebabkan itu, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, memfailkan saman terhadap usahawan yang sering terpalit kontroversi.
Menurut Harian Metro, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula 6 Januari 2026 untuk perbicaraan kes saman difailkan Abdul Kadir membabitkan hutang pelaburan puluhan juta ringgit.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 6 hingga 8 Januari 2026 sebagai tarikh bicara dan 5 Julai ini, ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Sebelum ini, peguam T.Dheenish mewakili Abdul Kadir selaku plaintif berkata anak guamnya akan memberi keterangan pada perbicaraan kes saman itu.
“Kemungkinan pihak plaintif akan memanggil beberapa saksi daripada portal berita yang menerbitkan dakwaan defendan (Aliff Syukri), yang dimuat naik di Instagram dan Facebook milik defendan,” kata peguam itu.
Peguam Mohd Tajudin Abd Razak yang mewakili Aliff Syukri pula berkata pihak defendan akan mengemukakan dua saksi, iaitu anak guamnya sendiri dan isterinya Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid untuk memberi keterangan di mahkamah.
Abdul Kadir memfailkan saman pada 6 September 2023 terhadap Aliff selepas didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook miliknya pada 2 Julai 2023.
Bekas menteri penerangan itu mendakwa, kenyataan itu membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit.
Selain itu, gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.
Oleh itu, plaintif menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah.
Malah defendan juga dituntut memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.