Malaysia Dateline

Isu gangguan seksual di sekolah: Mencari Radzi, Rina dan Zailah yang ‘hilang’

Setahun lebih Malaysia ditadbir Perikatan Nasional (PN) dan berkali-kali kita menyaksikan kegagalan kerajaan ini dalam banyak hal.

Isu pendidikan, wanita serta isu kekeluargaan dilihat terabai total oleh #KerajaanGagal ini seolah-olah tiada penting dan tiada nilainya.

Di manakah Radzi Jidin dan dua orang Timbalan Menteri Pendidikan yang dibayar gaji puluhan ribu ringgit?

Hilang ke mana pula Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWM), Rina Harun dan timbalannya Siti Zailah Mohd Yusoff?

Pada 24 April lalu, seorang pelajar tingkatan lima, Ain Husniza Saiful Nizam telah memuat naik satu video di Twitter berkenaan guru lelaki yang membuat lawak rogol di dalam kelas, lalu tular di alam maya.

Ramai yang bersolidariti dengannya, namun tidak kurang juga yang mengecam, malah penampilannya juga dijadikan isu sehingga timbul amaran penggantungan pelajar itu dari pihak sekolah.

Kisah Ain disusuli pula dengan laporan yang dibuat Malaysiakini berkenaan pemeriksaan status haid di sekolah melibatkan kejadian para pelajar perempuan dipaksa menunjukkan darah haid, atau diperiksa alat sulit mereka untuk menyemak sama ada menggunakan tuala wanita atau tidak.

Ramai yang bersuara berkenaan isu tersebut khususnya wakil-wakil rakyat daripada pihak pembangkang yang menyarankan kerajaan serta pihak berkuasa untuk bertindak pantas menyiasat.

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching ada menyarankan sebuah badan berkecuali dibentuk untuk menyiasat kes itu yang disifatkannya amat keterlaluan terjadi di sekolah yang sepatutnya merupakan tempat selamat untuk anak-anak kita.

Menurutnya, semasa Pakatan Harapan (PH) berada dalam kerajaan, pendidikan seks telah secara perlahan akan dimasukkan ke dalam silibus sekolah-sekolah yang pada asalnya dijangka bermula pada ini.

Namun kini, setelah kerajaan dirampas secara kejam oleh PN, masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita terlihat pudar.

Ahli Parlimen Batu Kawan yang juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP, Kasthuriraani A/P Patto dengan tegas menyatakan bahawa, tindakan lemah daripada kerajaan dalam menangani isu ini hanya ‘menyampaikan mesej’ berbahaya kepada masyarakat serta pemangsa seksual.

Ini kerana, guru yang dilaporkan membuat jenaka rogol di dalam kelas itu tetap dibenarkan terus bertugas dan jenaka rogol, liwat serta dandanan seksual di sekolah atau di mana-mana sahaja akan tetap berlaku jika tiada tindakan tegas diambil.

Kasthuri turut mempersoalkan kenyataan Radzi pada 28 April lalu untuk menyiasat isu tersebut tetapi tidak menggantung perkhidmatan guru terbabit manakala suara Rina Harun pula tidak kedengaran.

Mantan Timbalan Menteri di KPWKM yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut beberapa kali menzahirkan rasa kecewa kepada Menteri-Menteri PN yang gagal menangani isu-isu berkait pelajar wanita mutakhir ini.

Beliau mengharapkan menteri-menteri terlibat seperti Radzi Jidin, Rina Harun dan Siti Zailah Yusoff agar lebih proaktif serta berani bersuara lantang mewakili masalah berkait bidang masing-masing.

Tentu sahaja, anak-anak pelajar, wanita dan golongan memerlukan di negara ini amat bergantung kepada undang-undang baharu yang lebih baik serta membela nasib mereka.

Jika menteri-menteri PN merasa bertanggungjawab, benar-benar mementingkan rakyat dan mengambil berat masalah-masalah ini, mereka sepatutnya lebih lantang bersuara, lebih dahulu ke depan bertemu Ain serta pelajar-pelajar yang diperiksa haid secara paksa ini lalu membela mereka.

Tetapi, apakan daya kerajaan PN takut untuk membuka pintu Parlimen, bersidang, membawa isu-isu rakyat untuk dibahas di sana.

Mereka lebih sanggup menghilangkan diri dan melihat dari jauh, lalu berterusanlah anak-anak Malaysia perlu berdepan sendiri gangguan seksual yang tidak berkesudahan demi mempertahankan kuasa politik mereka yang kian rapuh.