Isu Gojek : Shamsubahrin mohon maaf pada rakyat Indonesia

Oleh MALAYSIADATELINE

Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd hari ini, memohon maaf kepada rakyat Indonesia setelah mengeluarkan kenyataan minggu lalu bahawa perkhidmatan gojek yang dijalankan di Indonesia adalah disebabkan tahap kemiskinan yang tinggi dalam negara berkenaan.

Pengasas dan Penasihat, Datuk Shamsubahrin Ismail menjelaskan, kenyataan yang dikeluarkannya berdasarkan laporan-laporan tahap kemiskinan dari negara itu sendiri yang dikeluarkan sekitar April tahun ini.

Beliau membuat permohonan maaf tersebut selepas kenyataan beliau itu mendapat reaksi kurang senang dari rakyat Indonesia sehingga mereka mengancam untuk mengadakan demonstrasi di kedutaan Malaysia di Jakarta.

“Seperti awal tadi, saya memohon maaf atas kesilapan melabelkan rakyat Indonesia sebagai orang miskin atas sebab laporan yang saya terima.

“Sekarang saya dapat tahu laporan ini semua tak jujur dan laporan (bersifat) politik. Saya memohon maaf pada rakyat Indonesia atas kekhilafan saya dan telah memahami secara personal antara rakyat dan saya bahawa mereka tak miskin.

“Walau macam mana pun kerajaan Indonesia beri pembelaan setingginya kepada rakyatnya. Dengan permohonan maaf yang diminta rakyat Indonesia, saya harap tiada demonstrasi dilakukan atas sebab kepentingan kedua negara yang selama ini bersaudara rapat,” Katanya kepada pemberita di pejabat Big Blue Taxi di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelasnya, maksud sebenarnya juga telah disalah faham namun tidak mahu melanjutkan perkara itu dan berharap hubungan akrab antara Indonesia dan Malaysia harus diteruskan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang dalam perancangan perancangan untuk membawa perkhidmatan Big Blue ke indonesia dengan harapan untuk membela nasib pemandu disana.

“Tujuan saya nak bawa masuk ke sana juga kerana segmen pasaran mereka yang besar dan sekarang dalam proses menulis surat kepada kerajaan Indonesia,” ujarnya.

Pada semalam, menurut beberapa laporan media tempatan, yang memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Menurut Igun, jika pihak Big Blue tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.