Isu GST, MAS belum dibincang

Isu GST, MAS  belum dibincang

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, beliau hanya menjawab pertanyaan wartawan ketika ditanya mengenai GST sekiranya timbul permintaan daripada rakyat.

“Kalau timbul permintaan daripada rakyat, kita sensitif kepada kehendak rakyat dan kita akan kaji. Tapi tidak ada kajian yang dibuat pada waktu ini.

“Masa saya menjawab itu belum ada persidangan Majlis Presiden,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini media dipetik melaporkan Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu, kerajaan bersedia menambah baik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukan bermakna akan mengembalikan sistem GST.

Ketika ditanya perkembangan terbaru Malaysia Airlines (MAS), Dr Mahathir memaklumkan ada banyak pembida untuk membeli syarikat penerbangan itu.

Bagaimanapun beliau menjelaskan belum ada sebarang perbincangan dilakukan dengan pembida.

“Ada banyak pembida yang terdiri daripada pelabur tempatan tapi itu bergantung kepada Khazanah untuk buat keputusan,” katanya.