Isu haram undi Pas untuk pecahkan minda, kata Husam

Isu haram undi Pas untuk pecahkan minda, kata Husam

Naib Presiden AMANAH, Husam Musa berkata kenyataannya bahawa haram mengundi Pas adalah sebagai ‘pemecah minda’.

Kata beliau, kenyataannya bahawa haram mengundi Pas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bertujuan memecahkan minda kalangan pentaksub Pas supaya menginsafi bahawa pemimpin Pas tidak boleh sesuka hati mengeluarkan ‘fatwa’.

“Jadi tidaklah nanti mereka boleh keluarkan hukum itu dan hukum ini ‘unchallenged’ (tanpa dicabar).

“Pecahkan minda dulu, tak semestinya apa yang saya cakap itu perlu dipakai,” kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu dalam sidang medianya di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur semalam.

Tambah beliau, pemimpin Pas tidak boleh dibiarkan menguasai orang kampung dengan cara yang salah di sudut politik khususnya di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kata Husam, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya kenyataannya itu dikritik kerana menurut beliau, ia bukan fatwa tetapi hanya pandangan.

“Boleh kritik, tiada masalah. Ia hanya pandangan bukan fatwa. Kalau fatwa ia perlu dicop (disahkan),” kata beliau.

Kenyataan Husam pada 4 Februari lalu bahawa haram mengundi Pas pada PRU14 nanti mendapat respon para penyokong dan ahli Pas.

Tidak kurang juga yang membela kenyataan Husam sambil menyifatkan pemimpin AMANAH itu hanya menggunakan ‘laras bahasa Pas’ ketika berceramah.

COMMENTS

Wordpress (0)