Malaysia Dateline

Isu harga ayam: Kenyataan Timbalan Menteri tidak masuk akal

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkenaan dengan harga ayam ditempelak oleh ramai pihak.

Dalam satu kenyataan, beliau mengajak rakyat untuk membuat pilihan bekalan harga ayam yang murah dilihat tidak bertanggungjawab serta lepas tangan.

Adun Perling, Cheo Yee How berkata sebagai seorang timbalan menteri, kenyataan tersebut tidak selayaknya dikeluarkan olehnya apatah lagi dalam keadaan rakyat memerlukan tindakan dari pihak kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Katanya, harus diakui oleh pihak kementerian bahawa pengawalan bahan mentah tersebut perlu dikawal bukan mengalah kepada pembekal.

“Kita patut menetapkan harga bukan dengan meletakkan permasalahan itu ke bahu rakyat untuk memilih kepada kedai yang menjual harga yang murah.

“Apakah kerajaan tidak ada kuasa untuk mengawal permasalahan harga ayam serta bahan mentah lain yang kian melambung tinggi?

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan hari ini gagal menguruskan perkara ini dengan baik sehingga ada yang sewenang-wenangnya menaikkan harga keperluan harian tersebut.

“Kita tetap bertegas agar kerajaan menyelesaikan perkara ini bukan harus meletakkan di bahu rakyat apatah lagi dengan kehadiran Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Pastinya umat Islam di negara ini yang menyambut hari tersebut akan terkesan dengan keadaan ini,” katanya.

Abdullah Idris

Dalam pada itu, Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Pulai, Abdullah Idris berkata permintaan terhadap bahan mentah seperti ayam ini amat tinggi namun pengawalan terhadap harga tidak dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, tidak sepatutnya seorang timbalan menteri membiarkan perkara ini berlaku tanpa ada sebarang reaksi atau tindakan terhadap kenaikkan harga tersebut.

“Rakyat maklum berkenaan cadangan kerajaan yang menggalakkan pemilihan kedai yang murah namun apa yang disuarakan oleh mereka bagaimana harga keperluan ini naik.

“Walau kedai murah sekalipun, harga tetap naik dari sebelumnya. Isunya adalah soal kenaikkan yang tidak dapat dielakkan dan apakah kerajaan sedar akan perkara ini atau kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawalnya?

“Saya menyeru agar kerajaan segera selesaikan permasalahan ini agar perkara sebegini tidak terus membebankan rakyat yang semakin terhimpit ekonominya,” katanya.

Tambah Abdullah, kerajaan perlu mengutamakan rakyat berbanding mereka yang cuba mengambil kesempatan di atas kesempitan yang berlaku ketika ini.