Isu hibah TH: Zaharudin jawab Najib Razak

Isu hibah TH: Zaharudin jawab Najib Razak

Saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang sudi mendiskusikan tulisan saya yang sederhana berkaitan (Mengapa Hibah TH Rendah sebagaimana yang tersiar di Malaysiakini. Ia suatu penghormatan buat saya kerana mendapat perhatian seorang tokoh penting dalam sejarah pemimpin tanahair Malaysia. Saya turut menghargai tulisan beliau yang menggunakan bahasa dan kata-kata yang baik, tiada keterlaluan, tiada cemuhan beremosi atau sindiran kebudak-budakan. Alhamdulillah.

Walaupun saya sangat keberatan untuk mengulas semula disebabkan tidak mahu terjebak dalam polemik bersama ahli politik khususnya yang bertaraf tinggi seperti beliau, kerana saya bukanlah ahli politik yang ingin menagih mana-mana sokongan ahli atau pengundi, kerana saya bukan ahli kepada mana-mana parti politik, juga saya hanya merasakan perlu untuk memberikan ulasan dalam isu pelbagai atas dasar kefahaman ilmu dan bukannya sentimen politik.

Namun atas dasar pentingnya membudayakan perkongsian ilmu dan perbincangan sihat bagi manfaat masyarakat Malaysia. Juga agar kita semua selaku penyokong dan pembangkang boleh mempelajari tatacara berbincang dengan laras bahasa tenang lagi baik, maka saya gagahkan diri untuk serba sedikit mengulas komentar bekas Perdana Menteri yang dikasihi ramai ini, ke atas tulisan saya. Semoga netizen boleh mempelajari gaya bahasa dalam ulasan DS Najib Razak terhadap tulisan saya, dalam membincangkan apa jua isu politik, kewangan dan lainnya. Politik ekstrem perlu dijauhi sama sekali. Komen penuh DS Najib boleh dilihat di link INI

1) Dato’ Seri Najib Tun Ab Razak menyatakan:

“FGV dibeli pada tahun 2012 iaitu 6 tahun dahulu. Kejatuhan nilai ataupun kerugian akan dinilai pada akhir setiap tahun dan telahpun diambil kira apabila mengira pemberian Hibah untuk setiap tahun-tahun itu – bukan hanya pada tahun 2018 sahaja. Lagipun, FGV memberi dividen setiap tahun kerana mencatatkan keuntungan untuk tiap-tiap tahun sebelum tahun 2018. Akan tetapi, FGV mencatat kerugian untuk kali pertama pada tahun 2018 akibat kejatuhan harga sawit.“

ULASAN SAYA

Benar, salah satu pandangan saya yang turut bersumber dari pihak TH, adalah kegagalan pengurusan TH yang lalu untuk menjual segera saham FGV apabila ia berada pada keadaan menurun adalah salah satu punca bebanan besar ditanggung sehingga membawa ke hujung Dis 2018 dan seterusnya punyai impak negatif ke atas plan pemberian hibah 2018.

Saham FGV dibeli oleh TH pada sekitar harga RM 4.6 sesaham, iaitu sekitar tahun 2012. Untuk info, saham FGV pernah mencecah harga RM 5.44 di awal tahun 2012 dan itu menjadi salah satu punca tertariknya institusi besar untuk membeli saham FGV kerana menyangka ia akan terus naik. Malangnya, ia naik hanya sebentar dan terus menurun secara puratanya. Harga FGV kemudian terus jatuh sehingga RM 1.21 sesaham pada 28 Ogos 2015.

Sekiranya saham FGV Berjaya dijual oleh TH pada tahun 2014 bagi menyekat lanjutan kerugian,; sebagai contoh pada tarikh 5 Dec 2014 harga saham FGV sedang jatuh sehingga bernilai RM 2.99 sahaja, itu adalah setelah 12 bulan berturut-turut jatuhnya harga berbanding harga asal sewaktu pembelian. Ataupun ia djual sewaktu nilaian FGV naik semula dari kejatuhan teruk kepada harga RM 2.50 pada 22 Sept 2016; nescaya Tabung Haji tidak akan terkena keadaan rosot nilai yang teruk sehingga terpaksa menanggung kerugian seta bertambahnya liabiliti Tabung Haji. Pada hujung Dec 2018, harganya jatuh sehingga 72 sen sesaham. Hatta kalau TH menjualnya dengan cepat selepas PR 14 juga, contohnya pada 18 Mei 2018, ketika itupun harga masih sedikit baik, RM 1.83 sesaham, itu juga sudah dikira lebih sihat, namun ia tidak berlaku.

Bagaimanakah hal ini boleh memberi kesan kepada Hibah TH 2018?, jawapannya, adalah nilai pasaran saham FGV telah turun mendadak daripada harga IPO dan ini memberi kesan kepada pemegang saham FGV termasuk TH. Oleh kerana polisi rosot nilai TH dipinda secara melanggar etika perakaunan TH yang sepatutnya iaitu penetapan rosot nilai aset kewangan TH di penyata untung rugi hanya apabila kerugian mencapai kadar 90%. Perubahan polisi rosot nilai ini telah diguna pakai sebagai HELAH MENUTUP MASALAH KEWANGAN SEDIA ADA serta membolehkan TH mengagihkan hibah yang tinggi , terutama pada kadar 4.50% (tidak termasuk hibah haji sebanyak 1.75%).

Jika rosotnilai sebenar direkodkan sebagaimana sepatutnya semula kepada cara kiraanya yang betul oleh pengurusan TH yang baru, TH akan merekodkan KERUGIAN BESAR dalam penyata untung rugi bagi pelaburannya dalam FGV, maka keuntungan TH pasti akan berkurangan daripada yang dilaporkan dan seterusnya akan mengurangkan Hibah 2017. Oleh kerana pengurusan lama TH tidak membuat rosotnilai ke atas pelaburan dalam FGV pada tahun 2017 maka ia memberi kesan kepada jumlah yang boleh dihibahkan jika tidak dipindahkan ke SPV. Pengurusan TH telah memindahkan saham FGV nilai RM4.62 sesaham kepada SPV, iaitu pada harga kos pegangan TH (holding cost), berbanding harga pasaran semasa pada hujung tahun 2018 sebanyak 72 sen sesaham. Kerajaan telah memperuntukan 1.31 bil untuk mengambil-alih saham-saham FGV ini. SEKIRANYA BEBAN FGV ini tiada dalam senarai perlu pindah, tentunya TH boleh memindahkan aset lain yang jauh lebih kecil nilai perpindahannya, dengan itu surplus aset berbanding liabiliti akan menjadi lebih besar dan beban kerajaan turut mengecil serta boeh menambahkan lagi jumlah surplus dan memberi kesan kepada keuntungan boleh agih sebagai hibah pada tahun 2018. Itulah kaitannya.

Perubahan berkali-kali nilai ambang ini juga yang menjadikan Ketua Audit Negara menegur tidak konsisten polisi TH dalam menentukan had ambang rosot nilai. Teguran serius oleh Ketua Audit negara tercatat dalam ‘Emphasis of Matters’ dalam laporannya tahun 2017.

Berkenaan dividen FGV kepada TH. Benar mendapat dividen itu bagus tetapi perlu dilihat dengan diimbangi dengan pendedahan kadar risiko tinggi disebabkan pegangan yang besar. Dato’ Seri Najib bercakap berkenaan kentungan pada peringkat FGV tetapi apa yang saya tulis adalah berkenaan nilai pelaburan FGV yang telah jatuh harga pasarannya dengan sangat teruk, sehingga pemberian dividen yang diperolehi tidak setara dengan kerugian hasil kejatuhan harga pasarannya.

Dividen FGV kepada TH dari tahun 2015, 2016 dan 2017 hanyalah sekitar RM 29 juta sahaja. Itu walaupun kelihatan positif tetapi namun apabila direkodkan di dalam balance sheet BERSAMA PELBAGAI ITEM LIABILITI, setelah (sepatutnya) dimasukkan rosot nilai, keuntungan itu akhirnya akan seolah terpadam disebabkan rosot nilai kerana jatuh teruk harga pasarannya, sewaktu pentadbiran TH dahulu itu tidak berlaku disebabkan ‘creative accounting’ yang bercanggah dengan piawaian perakaunan TH sendiri, akhirnya semua kelihatan untung dan aset melebihi liability serta keuntungan pula kononnya mencukupi untuk membayar hibah tinggi.

Hasilnya, dividen FGV tidak boleh dianggap suatu kelebihan kepada TH apabila mengabaikan persoalan rekod rosor nilai, hal ini adalah ‘fiduciary duty’ bagi pengurusan TH dan ahli Lembaga Pengarahnya. Apabila ia diabaikan dalam strategi pengurusan TH yang lalu, akhirnya ia perlu dibetulkan dalam tahun 2018 secara sekaligus, lalu menyebabkan lonjakan jumlah liabiliti yang menjadi satu punca hibah tidak boleh diagihkan dengan sebaiknya walaupun TH masih mempunyai keuntungan tunai. Itulah kaitannya.

Lihat bagaimana efisyen KWSP dalam menjaga wang rakyat secara professional, KWSP mendapat pendapatan dividen sebanyak RM105.77 juta daripada saham-saham FGV itu hasil dari pegangan saham FGV sekitar 8 %. Pada Ogos 2016, KWSP tetap melepaskan semua pemilikan saham dan akhirnya kerugian RM 203.18 juta. Mengapa KWSP tidak terus memegang jika berpuas hati dengan dividen sebagaimana hujah bekas Perdana Menteri? Ia adalah kerana pemegangan itu tidak ‘sustainable’ untuk jangka sederhana dan panjang serta risiko tinggi kepada ‘balance sheet’ KWSP. Turut membahayakan masa depan dana caruman para pekerja rakyat Malaysia yang lebih ramai untuk diutamakan, itulah sepatutnya yang dilakukan oleh TH.

2) Dato’ Seri Najib menyatakan lagi

“Oleh itu, tidak benar bahawa ketiga-tiga pelaburan di atas adalah sebab yang besar untuk Hibah tahun 2018 kerana pelaburan-pelaburan di atas sudah wujud sejak bertahun-tahun dahulu dan TH tetap membayar Hibah yang tinggi pada tahun-tahun berkenaan.”

ULASAN SAYA

Saya tidak menyatakan ia sebab besar, tetapi ia adalah siri sebab dan punca-punca yang tergabung lalu menjadi besar, inilah yang perlu difahami. Bagaimana ia berkaitan dengan hibah kerdil 2018 ?

Jawapannya adalah, ia suatu indikasi lemahnya strategi pelaburan pengurusan TH yang lalu, iaitu apabila prestasi sedemikian dilakukan secara berterusan ke atas dana TH, kerugian sukar dielakkan. HIbah yang tinggi tahun-tahun lalu turut boleh dipersoal sama ada ia benar-benar hasil keuntungan tinggi pelaburan yang diuruskan TH atau hanya hasil pindaan polisi rosot nilai yang salah. Justeru itu, apabila keputusan ketiga-tiga pelaburan itu dibawakan, ia sebagai contoh menunjukkan kelemahan yang terbukti wujud yang akhirnya mendorong kepada situasi bermasalah pada tahun 2018. Iaitu ‘lack of skills, inefficiency’, campur tangan politik atau kelemahan kemampuan kepimpinan TH yang lalu.

3) Dato’ Seri Najib juga menyatakan

“Penulis juga menyebut program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.Yayasan Tabung Haji bukan Tabung Haji. Wang RM22 juta yang disebut itu bukan semua dari TH juga. Dana berjumlah RM22 juta itu bukanlah wang penabung (pendeposit TH). Ia adalah zakat hasil keuntungan pelaburan TH sebanyak RM7 juta dan selebihnya adalah duit sumbangan UMNO, Kerajaan Persekutuan dan syarikat yang tidak pernah berniaga dengan TH untuk menjalankan aktiviti bulan Ramadan pada 2017. Program YTH yang dimaksudkan termasuklah program membantu golongan fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), serta ibu tunggal seluruh negara menerusi program ‘Ziarah Kasih’, ‘Jom Bantu Rakyat’, dan ‘Ziarah Kasih Ramadan’ selama setahun. Oleh itu, bagaimana pula RM7 juta duit zakat TH boleh mengakibatkan TH hanya mampu membayar Hibah 1.25%?”

ULASAN SAYA
Jawabnya, kes ini diutarakan bagi merespon persoalan rakyat akan apakah tindakan TH terhadap salah laku pengurusan TH yang lalu ? Maka apa yang dibawakan adalah sebahagian tindakan sudah dilakukan namun belum menyeluruh. Kaitan dengan isu hibah 2018 ? Walaupun belum ada sebarang tindakan lain dan pendakwaan, itu perkaar biasa, siasatan mengambil masa dan banyak kes yang lebih besar mungkin didahulukan. Kita tidak menuduh sesiapa bersalah selagi belum dibuktikan, maka sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangannya. Wallahu’alam.

Ia bagi memahamkan rakyat wujudnya keraguan sebenar pada prestasi pengurusan dan ia bukan hanya cakap kosong tetapi tindakan telah pun dimulakan oleh pihak TH. Walaupun ia berkaitan YTH, namun ia masih dibawah pembuat keputusan kepimpinan TH pada waktu itu. Kelemahan dan masalah tercipta di sana, merosakkan reputasi dan kebolehpercayaan terhadap seluruh pengurusan di dana TH juga.

Manakala, persoalan mengenai zakat TH, sebaikanya diajukan kepada ahli Majlis Penasihat Shariah Tabung Haji yang diketuai oleh Prof Dr. Ashraf Hashim yang juga merupakan ahli Lembaga pengarah Tabung Haji lantikan baru. Saya turut tidak mempunyai info berkenaannya justeru secara jujur saya tidak mempertahankan hal terbabit dari pertikaian tanpa maklumat cukup.

4) DS Najib menyatakan :

“Apa yang tidak disebut oleh penulis ialah pada tahun 2017, indeks Bursa Malaysia meningkat 200 mata manakala pertumbuhan KDNK untuk tahun itu ialah 5.9%. Tetapi Bursa Saham Malaysia jatuh 200 mata pada tahun 2018 dan menyebabkan kehilangan nilai RM270 bilion dalam pasaran saham Malaysia menakala pertumbuhan ekonomi kita jatuh kepada 4.7% pada ketika harga sawit juga jatuh teruk. Itulah yang menyebabkan prestasi TH merosot teruk pada tahun 2018”

ULASAN SAYA

Sekiranya DS Najib membaca dengan teliti tulisan saya, saya telah menyatakan dengan terang bahawa pertukaran kerajaan dari BN kepada PH sememangnya menjadi salah satu faktor kesan kejatuhan saham di bursa yang seterusnya memberi impak kepada saham milikan TH. Bagi saya itu hakikat dan ketidaktentuan halatuju kepimpinan PH dalam kabinet dan gelagat para Menteri tidak berpengalaman dalam menyuarakan pandangan turut menyumbang kepada kejatuhan serba sedikit. Itu lumrah bagi pelaburan kerana sector pelaburan tidak sukakan ketidaktentuan politik yang dibimbangi boleh membawa masalah ekonomi dan lingkupnya bisnes. Saya juga setuju, kejatuhan harga sawit hasil boikot oleh Eropah turut menjadi sebab jatuhnya saham.

Kejatuhan harga saham selepas pilihanraya tidak memberi ruang cukup kepada TH yang baru untuk bertindak mengurangkan kerugian TH kerana mereka hanya dilantik pada Julai, siapnya semakan PwC pada sekitar September. Justeru, tidak cukup masa untuk bertindak menghentikan kerugian saham dimiliki TH sebelum Dis 2018.

Namun begitu, hujah itu semata untuk menolak elemen luar negara penyumbang kepada kejatuhan adalah lemah kerana :

a. Menurut laporan Bloomberg sebagaimana gambarnya disertakan, seluruh saham Asia jatuh pada tahun 2018, dan 5 trillion hilang pasaran Asia pada tahun tersebut. Adakah ini disebabkan peralihan kerajaan di Malaysia? Tentunya tidak dan itu adalah bukti pengaruh luar turut besar dalam kejatuhan saham di seluruh rantau ini.

b. Malah menurut laporan Bloomberg dan The Edge Market, sila rujuk gambar juga, prestasi saham Malaysia FBM KLCI dari Dis 2017 ke Dis 2018, negara kita adalah yang KELIMA TERBAIK walaupun mengalami kejatuhan lebih 200 mata, berbanding kejatuhan lebih teruk pada saham-saham Asia Pasifik yang lain. Iaitu hanya – 5.91 % berbanding US Dow Jones jatuh -6.70, Australia , -6.90, Taiwan TAIEX – 8.60, Singapore STI -9.82, Bangkok SET -10.82 %, Jepun Nikkei – 12.76 %, South Korea Kospi -17.28 % dan banyak lagi. Adakah kejatuhan saham serantau disebabkan kelemahan Menteri kerajaan yang baru dan peralihan pentadbiran kerajaan Malaysia? Sudah tentu tidak.

c. Hatta kalaupun betul saham milikan TH jatuh teruk selepas peralihan kerajaan, maka siapa yang ingin dipersalahkan? Adakah itu salah rakyat yang menunaikan hak mereka dalam mengundi? Adakah ingin disalahkan rakyat ? Sudah tentu, ada beban kesalahan patut ditanggung oleh kepimpinan baru Malaysia, namun itu lumrah yang berlaku pertukaran pertama kali dalam sejarah Malaysia, ia tidak sama seperti pertukaran Presiden atau kerajaan USA yang sudah biasa berlaku.

d. Tambahan lagi, jika benar saham milikan TH jatuh selepas Mei 2018, itu juga tidak banyak kesan lagi kepada rosot nilai yang sudah termasuk dalam kiraan bulan kerugian sejak dari sebelum itu lagi, cuba lihat prestasi FBM KLCI dari tahun 2017 ke 2019. Benar saham jatuh sejurus Mei 2018, tetapi naik semula dan turun naik adalah biasa bagi pasaran saham, malah turun naik itulah yang membuka ruang pelabur meraih keuntungan dan peluang kepada ramai pelabur baru untuk masuk dengan kos murah. Pun begitu, rendah dan kejatuhan turut berlaku pada tahun 2017 pada mata 1617 pada tarikh 18 Dis 2017, malah lebih rendah dari separuh akhir tahun 2018. Rujuk Gambar prestasi FBM KLCI yang disertakan.

Tulisan ini tidak mewakili pengurusan TH atau kerajaan Malaysia, ini adalah pandangan bebas saya selaku pemerhati dan pengkaji luar. Sekadar itu ulasan semula saya, semoga bermanfaat.

* Penulis merupakan Profesor Adjung Universiti Selangor dan Presiden NGO MURSHID.