Malaysia Dateline

Isu hina Islam: Bersatu Terengganu sedia kerjasama dengan Pas

Bersatu Terengganu bersedia bekerjasama dengan Pas dalam isu berkaitan penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW, kata Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris.

Menurutnya, kerjasama tersebut bagi memastikan kesucian agama Islam terus dipertahankan di samping mengukuhkan kedudukan orang Melayu.

Beliau berkata, wujudnya segelintir pihak yang berani menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Walau bagaimanapun, Razali menegaskan semangat kerjasama antara Bersatu dan Pas itu hanya terhad dalam menangani isu penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Bersatu tidak akan bekerjasama dalam hal politik serta pertandingan satu lawan satu antara gabungan Pas dan Umno serta parti Pakatan Harapan (PH) yang akan berlaku di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya di Kuala Terengganu hari ini.