Malaysia Dateline

Isu hubungan Israel: Adakah Malaysia akan ikut jejak UAE?

Malaysia kini tidak mempunyai dasar luar negara yang jelas termasuk dalam isu di timur tengah.

Palestin makin berseorangan dan makin hilang pembelaan dari negara-negara saudara Islam dan AMANAH memandang sangat serius keadaan yang wujud hari ini.

Dengan sikap Presiden Amerika Donald Trump yang menunjuk sokongan makin kuat kepada Israel nasib rakyat Palestin makin di landa berbagai-bagai masalah.

Dalam masa yang sama Palestin makin ditinggalkan kawan-kawan dari Negara Islam sendiri.

Pencapaian perjanjian damai, dengan susulan hubungan diplomatik penuh, di antara Israel dengan Emirate Arab Bersatu (UAE), amat mengemparkan.

Rakyat Palestin yang telah puluhan tahun di zalimi oleh Israel merasa di khianati oleh saudara Islam dan bangsa Arab sendiri. Dahulu telah di khianati oleh jiran Mesir dan Jordan yang juga telah menandatangani perjanjian damai dengan Israel. Sekarang UAE pula dan selepas ini siapa pula? Adakah Malaysia akan menyusul?

UAE telah mula berjinak-jinak dengan Israel dengan menerima Menteri Israel menghadiri konvensyen di UAE sejak beberapa tahun dahulu.

Malaysia juga telah mula menerima Pegawai Kanan Israel untuk menghadiri konvensyen seminggu di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas dan telah juga membeli alat perisikan buatan Israel baru baru ini.

Saya telah beberapa kali menyoal pendirian kerajaan BN dahulu dan juga Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini tanpa menerima jawapan.

Kerajaan BN dahulu banyak mengikut telunjuk Arab Saudi dengan menghantar tentera kita menyerang jiran Saudi di Yaman. Umum ketahui juga Arab Saudi telah mula berjinak dengan Israel.

Kami menuntut kerajaan menjelaskan adakah kebenaran pegawai Israel masuk menghadiri konvensyen di KL permulaan mengiktirafkan hubungan formal dengan Israel?

Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah adalah seorang ulama dan Presiden Pas. Beliau perlu menyatakan pendirian dan pandangan beliau tentang hubungan Malaysia dengan Israel. Kalau dahulu Paslah yang pertama bersuara dan berdemonstrasi apabila pasukan kriket Israel datang ke Malaysia, tetapi kini sesudah menjadi kerajaan membisu dalam isu sebegini.

Kerajaan PN di katakan kerajaan Melayu Islam dan mesti membuat pendirian jelas.

Israel masih tidak memulangkan atau membatalkan pendudukan tanah rakyat Palestin tetapi hanya menangguh untuk sementara sahaja sebelum meneruskannya penaklukan tanah warga Palestin.

Israel juga masih menetapkan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara Israel dengan sokongan Amerika Syarikat. Tiada apa yang ditawarkan kepada rakyat Palestin.

Umat Islam menuntut kerajaan Malaysia membuat pendirian tentang hubungan dengan Israel. Adakah kita terus membenarkan rakyat Israel masuk Malaysia dan juga membenarkan perniagaan dengan Israel seperti pembeliaan alat perisikan dari Tel Aviv baru-baru ini?

Adakah perniagaan dengan Israel dan pengaruh Amerika Syarikat lebih penting kepada kerajaan PN Malaysia dari pembelaan saudara Islam Palestin yang sudah lama dizalimi?