Isu hutan simpan: Anwar percaya keputusan MB ikut dasar parti

Oleh ARIF ATAN

HSKLU yang diwartakan sejak zaman penjajah, awal 1920-an terus diasak hutan konkrit.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) baru-baru ini.

“Dan pada dua hari selepas itu, saudara Amiruddin Shari juga telah bertemu dengan saya untuk perbincangan lanjut terkait hal yang sama.

“Oleh yang demikian, saya percaya Menteri Besar dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang selaras dengan dasar parti terkait pengekalan dan pemeliharaan alam sekitar dan hutan simpan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor dilapor meneruskan tindakan menyahwartakan seluas 536.7 hektar tanah HSKLU walaupun menerima banyak bantahan dari pelbagai pihak termasuk penduduk kawasan sekitar.

Sementara itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) secara dasarnya tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar HSKLU khususnya di peringkat awal cadangan oleh kerajaan negeri Selangor.

Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementerian juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri Selangor berhubung perkara itu tahun lalu.

Beliau berkata, KeTSA memandang berat dan mengambil perhatian pewartaan keluar HSKLU yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.

Ini kerana, menurutnya sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan Negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus.

HSKLU yang didakwa sebagai ‘hutan miskin’ telah pulih dari segi hidrologi dan berlaku pertumbuhan semula spesies Mahang.

Jarang dijumpai

Sebelum ini, Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor Lee Hoy Sian memberitahu jumlah keluasan HSKLU yang ingin dinyahwarta adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu berjumlah kira-kira 991.90 hektar.

Kerajaan negeri juga memaklumkan kawasan yang dinyahwartakan itu akan diganti di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Walau bagaimanapun, kajian spesies selama lapan hari oleh Jabatan Perhilitan Negeri Selangor mendapati sebanyak 117 spesies hidupan liar telah ditemui di HSKLU iaitu 29 spesies mamalia, burung (70), katak (11) dan reptilia (7).

HSKLU juga menjadi habitat bagi spesies terancam bahkan spesies yang jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia.

Antaranya, kelawar Small Disc Roundleaf Bat dengan nama saintifik Hipposideros orbiculus yang kali terakhir spesies itu dijumpai pada 2007 di Rizab Hidupan Liar Sungkai.

Terdapat juga spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti ungka tangan putih dan lotong cengkong selain merupakan habitat semulajadi yang baik kepada spesies burung kawalan biologi seperti burung hantu.

Burung hantu yang berhabitat di hutan itu akan mencari makan di sekitar ladang-ladang sawit atau di pinggir hutan sekaligus mengawal populasi tikus-tikus perosak secara semulajadi.