Malaysia Dateline

Isu hutan simpan: MB Selangor jangan ‘gopoh’, kata Otai Reformis 1998

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dinasihatkan agar tidak ‘gopoh’ dengan keputusan untuk memansuhkan status Hutan Simpanan Kekal (HSK) ke atas hutan simpan Kuala Langat Utara.

Abdul Razak Ismail

Setiausaha Agung Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, cadangan pemansuhan berkenaan adalah tidak wajar oleh kerana ia akan menjejaskan keadaan semula jadi hutan termasuk sumber makanan orang asli di kawasan tersebut.

Tegasnya, kerajaan negeri dengan itu diberikan tempoh sehingga tujuh hari untuk menarik semula notis yang dikeluarkan dengan kadar segera.

“Sekiranya tiada sebarang maklum balas diterima, kami akan berhimpun di luar Bangunan SUK Selangor bersama Orang Asli dari tujuh perkampungan berhampiran hutan simpan terlibat.

“Apa yang kita (Otai Reformis) nak nasihatkan, MB Selangor jangan gopoh melenyapkan hutan ini.

“Kita harapkan dalam masa tujuh hari, notis ini akan dibatalkan untuk tunjukkan kamu prihatin pada Orang Asli,” katanya selepas penyerahan memorandum bantahan cadangan pemansuhan status hutan simpan berkenaan kepada Exco Alam Sekitar,Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.

Memorandum yang dihantar bersama wakil Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) diterima oleh Pengarah Perhutanan Selangor, Mohd Ridzuwan Endot yang mewakili exco tersebut.

Pada masa sama, Abdul Razak mengkritik tindakan dilakukan kerajaan negeri yang tidak jauh beza dibandingkan sewaktu zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada tahun 1994.

“Kita lihat semula sejarah hutan Kuala Langat ini pada tahun 1994. BN ketika itu keluarkan satu warta yang sama macam hari ini.

“Kamu (MB) mahu pecahkan rekod Umno kah? Umno mansuh 404.69 hektar tapi kamu keluarkan notis sekarang ini mahu mansuhkan sehingga 930.93 hektar,” soalnya.

Abdul Razak turut mempersoalkan notis pemberitahuan yang dikeluarkan pihak jabatan perhutanan Selangor yang dikatakan sebagai mengelirukan.

“Apa yang kami curiga di sini adalah mereka tak sebut pemansuhan tapi pengeluaran tanah. Jadi agak mengelirukan notis berkenaan yang dikeluarkan tanpa menyebut pemansuhan.

“Mungkin mereka takut diprotes rakyat, dia cakap pengeluaran tapi lampiran gambar rajah lakar bahawa mereka bercadang memansuhkan status hutan simpan berkenaan,” ujarnya.