Malaysia Dateline

Isu jenaka rogol: Henti siasatan, saman sivil tidak boleh disasarkan kepada kanak-kanak

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional kesal dengan perkembangan isu saman fitnah yang dikemukakan terhadap Ain Husniza oleh gurunya yang sebelum ini didakwa menggunakan jenaka rogol ketika sesi pembelajaran.

Setiausaha AWAN, Soraya Salim mendesak agar dihentikan serta-merta apa jua tindakan berbentuk tekanan dan intimidasi oleh mana-mana pihak terhadap pelajar terbabit, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak yang telah memberanikan diri untuk mendedahkan salah laku seksual.

Malah, beliau juga menegaskan agar saman malu terhadap pelajar itu dan keluarganya ditarik balik manakala siasatan polis perlu dihentikan.

“Kami menegaskan bahawa penggunaan undang-undang mahupun tindakan saman sivil oleh individu tidak seharusnya digunakan untuk mensasarkan seorang kanak-kanak.

“Sebaliknya seorang kanak-kanak perlu diberikan perlindungan dengan dakwaan salah laku disiasat secara telus dan mengambil kira kebajikan kanak-kanak tersebut.

“Lagipun, semenjak awal aduan dilaporkan, remaja tersebut dan keluarganya telah dihujani pelbagai reaksi dan stigma negatif yang dilontarkan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu mengulas keputusan Kementerian Pendidikan yang dilaporkan akan memindahkan guru tersebut dan siasatan dalaman akan dilakukan, Soraya berpendapat tindakan tersebut sama sekali tidak menawarkan solusi jangka panjang.

Justeru beliau menggesa agar KPM bersikap telus mendedahkan hasil siasatan dalaman bagi mengenal pasti jika terdapat salah laku atau pelanggaran etika perguruan bagi memastikan siasatan bebas daripada cubaan melindungi mana-mana pihak.

Tambahnya, KPM juga dituntut untuk segera menambahbaik penerapan kesedaran gangguan seksual dan aspek sensitiviti gender dalam sistem pendidikan negara dan persekitaran sekolah bagi memastikan suasana kondusif dan selamat dalam proses pembelajaran.

“Kami mengecam sikap berdiam diri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang telah gagal sama sekali memberikan respons dan intervensi sewajarnya daripada seorang Menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal perlindungan kanak-kanak,” ujarnya lagi.