Malaysia Dateline

Isu judi: Pas hanya bual besar

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah menggunakan teori “bangau oh bangau” dalam usaha mengelak diri daripada diletakkan tangggungjawab terhadap kelulusan Kementerian Kewangan untuk syarikat judi buat 22 cabutan.

Katanya, Pas tidak dapat berbuat apa-apa sekadar bantah sahaja, melainkan Pas mempunyai kuasa penuh. Beliau berlindung di sebalik kuasa.

Jawapan itu helah untuk tidak mengaku kelemahan sahaja. Kalau pun Pas ada kuasa penuh, kewangan yang mencukupi ia tidak akan laksanakan juga, belum tentu perkara itu diatasi, kerana Pas jenis bual besar, cakap sedap.

Ambil sahaja contoh isu air di Kelantan, Pas mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas negeri Kelantan. Tidak ada mana-mana pihak menghalang kerajaan Pas untuk menyelesaikan isu air.

Bukan itu sahaja, wang juga cukup apabila royalti petroleum dibayar ratusan juta ringgit. Kelantan tidak semiskin dahulu lagi, dan Pas juga sudah berada dalam kerajaan.

Tetapi air tetap menjadi masalah di Kelantan. Sebenarnya, soal kuasa dan kewangan bukan menjadi perkara pokok kalau akal orang Pas aktif dan berfungsi dengan baik. Masalahnya, otak kurang berfungsi.

Kepada Mohd Amar dan Pas mengaku sahajalah mereka hanya bual besar sahaja, tetapi tidak tahu berbuat sesuatu yang diucapkan.

Hentilah menggunakan teori Pak Pandir dan Bangau Oh Bangau dalam berpolitik. Rakyat sudah hancur dibuatnya.