Malaysia Dateline

Isu kapal LCS: Rafizi akan dipanggil pihak polis atas dakwaan memfitnah

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk merakam keterangan berhubung dakwaan seorang menteri terlibat dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Rafizi sebelum ini mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Susulan itu laporan polis dibuat oleh pegawai tugas-tugas khas kepada Abdul Latiff, iaitu Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi atas dakwaan memfitnah, maklum Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 9.28 malam, semalam daripada pegawai tugas khas menteri terbabit yang berusia 30 tahun.

“Hasil semakan polis mendapati kenyataan berkenaan telah disiarkan di laman web rafiziramli.com, di laman Facebook Rafizi dan di laman Twitter miliknya selain dua video yang berkaitan telah disiarkan melalui akaun TikTok dan Instagram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

“Kita akan memanggil beliau (Rafizi) untuk dirakam percakapan pada minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini memetik laporan media.

Pihaknya memaklumkan kes akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan  kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas menyebarkan kenyataan jelik.

Baca juga: Syukor Burger, restoran tempatan pertama buka cawangan pandu lalu di JB sebesar McDonald’s!

Baca juga: ‘Ada murid sampai tak pergi sekolah sebab tak ada baju cantik’, ibu luah pertandingan pakaian beragam membebankan