Malaysia Dateline

Isu kartel daging import haram dibangkit di Parlimen hari ini

Dewan Rakyat hari ini bakal menyaksikan isu berhubung tindakan kerajaan terhadap kes kartel daging import haram dibangkitkan.

Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan perkembangan siasatan dan langkah tegas kementerian menangani kes kartel daging import haram yang turut memproses daging babi di Senai, Johor baru-baru ini.

Pada 3 Disember media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging itu menggunakan logo halal.

Daging tersebut kemudiannya dijual ke pasaran seluruh Malaysia. Modus operandi itu terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Taman Perindustrian Senai.

Siasatan awal pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati syarikat yang terlibat dengan kegiatan kartel daging tipu label halal itu turut mengimport ayam dan itik.

Sementara itu sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa juga diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan mengikut giliran seperti dijadualkan.

Tiga kementerian itu adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini manakala Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Disember.

Melihatkan saiz besar gudangnya, kartel daging import haram dijangka mengaut keuntungan jutaan ringgit.