Malaysia Dateline

Isu kartel polis: respon Muhyiddin lemah, tak memuaskan 

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Sing Deo mengkritik ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pegawai polis Khamis lalu yang dikatakan langsung tidak menyentuh tentang isu kartel polis dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Beliau berkata, respon kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap tuduhan kartel dalam pasukan polis yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador adalah lemah dan tidak memuaskan.

Ini kerana katanya, Muhyiddin hanya bercakap tentang keperluan untuk anggota polis menguasai undang-undang negara selain melengkapkan pasukan keselamatan itu dengan aset, alat dan senjata yang canggih dalam usaha untuk terus maju di masa depan

“Saya setuju dengan saranan Muhyiddin bahawa wujudnya keperluan bagi anggota polis untuk menguasai undang-undang negara dalam mendepani cabaran moden.

“Namun, bukankah kerajaan juga sepatutnya mengambil langkah yang lebih tegas terhadap penguatkuasaan undang-undang dan menangani aduan yang dibuat oleh KPN jika benar mereka mahu memberi inspirasi kepada masyarakat supaya menghormati dan mematuhi undang-undang?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan, di mana kenyataan tegas oleh Perdana Menteri untuk menyokong KPN yang menuntut tindakan pantas terhadap dakwaan kartel dalam pasukan polis.

Apa yang berlaku ini katanya, menunjukkan betapa pentingnya Parlimen dan peranannya dalam memberikan keseimbangan yang menuntut agar kerajaan bertanggungjawab menangani perkara-perkara seperti ini dalam negara.

Pada masa sama, beliau turut menuntut Muhyiddin untuk memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan segera dilakukan bagi menangani isu tersebut

“Perdana Menteri mesti bersuara dan memberi jaminan bahawa laporan akan dibuat, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Abdul Hamid mendakwa wujud “kartel” dalam pasukan polis yang terdiri daripada pegawai muda yang berhasrat untuk menjatuhkannya demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, kumpulan itu berhasrat untuk menguasai pasukan keselamatan negara bagi memudahkan mereka melakukan kerja-kerja kotor.