Malaysia Dateline

Isu kaum, guna kenderaan rasmi: SPR pandang serius pelanggaran undang-undang pilihan raya dalam kempen

 

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memandang serius laporan pihak tertentu terdapatnya pihak yang bertanding melakukan tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Ia termasuk penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama dalam kempen mereka.

Azhar Azizan Harun

Pengerusinya Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini, berkata, beliau telah mengadakan perbincangan segera semalam dengan Presiden Malaysian Corruption Watch (MCW) Jais Abdul Karim selaku Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR.

Ia bagi mengemukakan maklumat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan penggunaan aset kerajaan itu dalam kempen.

Selain itu, SPR juga dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Calon Barisan Nasional (BN) Rosli Ab Jabar pada hari ini bagi membolehkan satu siasatan lanjut dijalankan oleh pihak Polis.

Sehubungan dengan itu, SPR menurut kenyataan itu lagi, mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti berkempen agar mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya dengan tidak melaksanakan aktiviti kempen seperti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, program Kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset Kerajaan untuk meraih undi.

Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan.

Di samping itu, SPR juga mengingatkan semua pihak bahawa kempen yang berunsurkan perkauman adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 4A AKPR 1954.

Manakala berkempen dengan menyentuh sensitiviti agama adalah merupakan pengaruh tidak wajar dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 9 AKPR 1954.

Ini berikutan terdapat laporan bahawa wujudnya isu-isu berkenaan semasa aktiviti berkempen dijalankan..

Adalah menjadi tanggungjawab semua calon dan parti politik yang bertanding untuk memastikan segala aktiviti kempen PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands tidak menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pengundi di PRK tersebut.
Dalam masa yang sama, setiap calon diingatkan untuk mematuhi Aku Janji Calon Semasa Tempoh Berkempen dan Hari Mengundi dalam setiap aktiviti berkempen yang dilakukan.

SPR menyeru supaya setiap calon dan parti politik memberi perhatian dan peringatan yang sewajarnya terhadap setiap perkara yang dinyatakan dalam Aku Janji tersebut.

SPR juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama dalam memantau perjalanan pilihan raya ini.

Kesedaran ini menunjukkan bahawa Malaysia dan rakyatnya sentiasa mahukan proses penjalanan pilihan raya yang telus dan adil kepada semua pihak.

Dalam tempoh rasmi berkempen yang berbaki beberapa hari lagi, SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak mengugat ketenteraman awam.