Isu kaum, undi Melayu ‘mata tambahan’ kemenangan BN di Rantau, kata penganalisis politik

Isu kaum, undi Melayu ‘mata tambahan’ kemenangan BN di Rantau, kata penganalisis politik
Salah seorang pengundi Rantau yang membuang undi pada PRK Dun Rantau Sabtu lepas. Foto Wan Zahari Wan Salleh.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, hasil politik perkauman yang dimainkan BN memberi mata tambahan kepada kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan selain kerjasama politik  Umno-Pas pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun ) Rantau .

Beliau berkata peratusan pengundi Melayu yang menyokong Mohamad atau sinonim dengan panggilan Tok Mat dilihat  turut menyumbang kepada kemenangan BN.

“Memang tidak dinafikan Rantau merupakan kubu kuat BN dan Tok Mat. Sungguhpun jika calon PH Dr Streram boleh bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU-14), Tok Mat tetap juga akan menang.

Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

“Kita lihat kemenangan di Semenyih dan Cameron Highland sebagai pencetus untuk mereka mengekalkan strategi yang sama.

“Saya tidak lihat ini sebagai satu trend untuk PRU-15 kerana ia masih lama lagi. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam masa empat tahun akan datang.

“Cuma apa yang boleh diperhatikan, hampir setahun PH memegang tampuk pimpinan, banyak isu yang timbul sehingga boleh dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Menteri-menteri dan ahli politik PH kadangkala turut menimbulkan rasa tidak senang dan tidak puas hati dikalangan orang Melayu khususnya,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata sungguhpun begitu, ia adalah tidak adil jika mahu menuding kekalahan tersebut kepada calon PH Dr Streram.

Katanya, walaupun Streram bukan orang tempatan Rantau, namun beliau telah lama berkhidmat untuk masyrakat Rantau. Bahkan, sokongan sebanyak lebih lima ribu undian adalah satu perkara yang boleh dibanggakan yang menunjukkan beliau diterima di kawasan itu.

“Saya rasa tidak adil kalau kita salahkan calon. Cuma dalam keadaan dimana isu-isu perkauman masih lagi dimainkan dan dijadikan isu besar di Malaysia, perbezaan kaum bukan faktor utama dalam menentukan kemenangan calon.

“Namun dalam kes Rantau ini, kita tidak dapat nafikan bahawa Tok Mat memang telah lama bertapak disitu. Jadi untuk orang Melayu saya rasa memang sukar untuk mereka memindah undi mereka kepada calon lain selain Tok Mat walaupun orang yang ditandingi itu orang Melayu.

“Setiap strategi itu mempunyai kesan positif dn negatif. Kita nampak PH belajar dari kekalahan di semenyih tetapi keadaan di Rantau lain.

“Keadaan dan suasana disana tidak begitu baik dengan kritikan-kritikan yang kuat tentang manifesto, polisi, dan isu perkauman yg sentiasa dimainkan oleh pelbagai pihak, maka itu telah mnjadi faktor utama kegagalan PH di Rantau,” ujarnya.

Pada Sabtu Mohamad yang juga Pemangku Presiden Umno, menang besar dengan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Dr Streram 5,887 undi,Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing hanya mendapat 79 dan 83 undi.

Dun Rantau yang mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar itu merangkumi 55.11 peratus atau 11,283 adalah pengundi Melayu, Cina 18.80 peratus (3,849 pengundi), India 26.06 peratus (5,336 pengundi) dan lain-lain O.02 peratus (4 pengundi).

Daripada 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN menang 12 PDM. Termasuk Pekan Sagga (63.7 peratus pengundi India) dan Linsum (48.3 peratus pengundi India) yang memiliki peratusan pengundi India paling tinggi di Dun itu.

BN juga menang besar di kawasan majoriti Melayu, termasuk Kampung Bemban (91 peratus Melayu), Kampung Sega (86.1 peratus Melayu) dan Kampung Sendayan (80.3 peratus Melayu).

Manakala PH hanya 1 PDM iaitu di Bandar Ekar yang memiliki peratusan pengundi Cina paling tinggi (42.1 peratus) dan pengundi India ketiga tertinggi di Rantau.