Malaysia Dateline

Isu keamanan Laut China Selatan dibincangkan dalam lawatan Mohamad ke Washington

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Norman Mattis di Pentagon, Washington.

Dalam satu kenyataan Kementerian Pertahanan hari iniĀ  berkata, perbincangan antara lain menyentuh isu keamanan di Laut China Selatan di mana Malaysia akan kekal berpendirian sebagai negara berkecuali.

Perbincangan yang berlansung hampir sejam itu turut membincangkan isu bagi menangani ancaman pengganas ISIS dan membendung pemikiran terorisme.

Malaysia juga turut membangkitkan isu penghapusan etnik Rohingya kepada perhatian Amerika Syarikat agar kuasa besar itu segera campur tangan memandangkan ia bukan lagi isu domestik di Myanmar malah isu kemanusiaan sejagat.

Malaysia berpandangan jika isu Rohingya tidak ditangani segera ia bakal mengulangi apa yang terjadi di negara Palestin apabila rakyatnya dibunuh dan tanah dijajah sekaligus dibimbangi akan mampu menyuburkan fahaman Daesh.

Turut serta dalam pertemuan itu, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ SeriPanglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan.

Pertemuan hari ini adalah sebahagian daripada lawatan kerja Menteri Pertahanan keAmerika Syarikat bermula 23 – 29 September 2018.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH itu dijadualkan akan menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi berhubung dengan Action For Peacekeeping di
New York.

Beliau akan mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sesi-73 Perhimpunan AgungPertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 25 hingga 29 September 2018.

Lawatan kerja Mohamad ke Washington adalah merupakan susulan kepada pertemuan beliau dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Singapura pada Jun 2018