Isu kekejaman terhadap penduduk Rohingya perlu dirujuk kepada ICC

Isu kekejaman terhadap penduduk Rohingya perlu dirujuk kepada ICC

Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa isu kekejaman ke atas penduduk Rohingya segera dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pelapor khas mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee berkata demikian ketika membentangkan laporan terbaharunya, termasuk kekejaman yang dilakukan terhadap 700,000 komuniti Rohingya di Rakhine pada Ogos lalu.

Seorang diplomat asing yang enggan dikenali memberitahu Bernama, PBB sedang meneliti perjanjian antara Myanmar dan Bangladesh, negara yang menjadi tuan rumah kepada lebih sejuta pelarian Rohingya; Myanmar bersetuju untuk membantu proses bagi membolehkan pelarian Rohingya pulang secara sukarela, selamat serta bermaruah.

Lee, berkata Myanmar bagaimanapun belum memenuhi syarat yang dinyatakan dan perjanjian akan tamat dalam beberapa bulan lagi, sambil menambah “tiada apa yang menunjukkan keadaan telah bertambah baik” untuk Rohingya tinggal di Myanmar.

“Saya percaya apa yang berlaku di Myanmar perlu dirujuk kepada ICC oleh Majlis Keselamatan …kita tidak boleh membiarkan mangsa hanya menunggu tindak balas antarabangsa,” katanya.

Majlis terbabit turut mendengar pendedahan oleh dua pelarian Rohingya, seorang daripadanya ialah Hamida Khatun, yang melarikan diri ke Bangladesh pada Ogos 2017, selepas beberapa ahli keluarganya termasuk suaminya dibunuh.

Khatun menyuarakan tiga permintaan kepada masyarakat antarabangsa iaitu keadilan termasuk pampasan, pulang ke rumah dengan selamat dan akses kepada pendidikan.

Kerajaan Myanmar telah memaklumkan kepada pihak Majlis, negara itu berusaha mencari keamanan dan kedamaian yang mampan, namun isu di Rakhine terlalu “kompleks”.

“Kami prihatin atas nasib mangsa yang terjejas akibat keganasan dicetuskan anggota Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) terhadap beberapa pos keselamatan pada Oktober 2016 dan Ogos 2017,” kata Duta Myanmar, Kyaw Moe Tun.

Mengulas mengenai gesaan Lee untuk isu Rakhine dibawa ke tribunal antarabangsa, Kyaw berkata Myanmar tidak akan menerima sebarang saranan untuk isu terbabit dibawa ke ICC.

Katanya, kerajaan Myanmar telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bebas pada Julai tahun lalu untuk menyiasat dan menangani isu akauntabiliti.

— BERNAMA