Malaysia Dateline

Isu kekurangan guru bersifat sementara, kata KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat isu kekurangan guru adalah bersifat sementara, antaranya disebabkan faktor luar jangka seperti persaraan pilihan, meninggal dunia, cuti separuh gaji dan tanpa gaji yang melebihi setahun, kursus yang melebihi setahun, ditamatkan perkhidmatan dan berhenti kerja atau letak jawatan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata pihaknya juga melaksanakan pelantikan guru secara interim dalam kalangan graduan pendidikan daripada universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta dan graduan pasaran terbuka bagi mengatasi isu kekurangan guru bagi mata pelajaran tertentu.

“KPM juga ingin menegaskan bahawa pengisian guru adalah berdasarkan keperluan dan tidak menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” jelas kenyataan itu.

Kementerian berkata pihaknya memandang serius laporan akhbar Berita Harian pada 31 Okt dan 1 Nov lepas berkaitan kekurangan guru di sekolah.

“Dakwaan yang mengatakan kekurangan guru berlaku kerana tiada unjuran keperluan guru adalah tidak tepat,” tegas KPM.

Kementerian menjelaskan sehingga Oktober tahun ini, pengisian jawatan guru adalah 97 peratus.

“Kementerian melaksanakan pengisian guru dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru atau UA tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran menerusi urusan pelantikan kendalian Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran yang dijalankan sepanjang tahun,” menurut KPM.

Malah pengiraan unjuran sentiasa dilakukan untuk tempoh lima tahun dengan mengambil kira pelbagai opsyen dan jenis sekolah di seluruh negara.

‚ÄúPengambilan pelajar ke Program Ijazah Sarjana Muda Penguruan adalah berdasarkan pengiraan unjuran yang ditetapkan oleh KPM,” kata KPM.

— BERNAMA