Malaysia Dateline

Isu kelewatan pembiayaan pinjaman Hijrah Selangor selesai, kata MB Selangor

 Bayaran pembiayaan pinjaman kepada usahawan Selangor di bawah skim mikrokredit Hijrah Selangor yang sebelum ini menghadapi masalah kelewatan, telah selesai sepenuhnya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata bayaran pembiayaan itu berdepan kelewatan berikutan jumlah pemohon yang mendaftar di bawah program skim mikrokredit tersebut meningkat.

“Kelewatan bayaran pembiayaan pinjaman ini sebenarnya tidak disengajakan, masalah yang menimbulkan pelbagai salah sangka itu sebenarnya berpunca daripada peningkatan jumlah pemohon yang memohon pinjaman ini.

“…dan kerana sambutan yang memberangsangkan ini, kita terpaksa atur semula agihan pembiayaan pinjaman ini sehingga masuk tahun baharu 2019,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Koperasi Warga Hijrah dan Majlis Penyerahan Pembiayaan Pinjaman Skim Hijrah Selangor semalam.

Beliau berkata kesemua pemohon program skim mikrokredit yang terbabit dalam isu kelewatan itu telah menerima pembiayaan pinjaman masing-masing hari ini.

Pada 7 Jan lepas, kira-kira 15 individu mewakili 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara, menggesa kerajaan negeri Selangor menyegerakan pembayaran pinjaman Hijrah Selangor.

Wakil mereka yang juga Presiden Usahawan Kuala Lumpur, Shazlan Bashar dilaporkan berkata kegagalan mengaturkan bayaran pinjaman itu berlaku selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14, pada Mei tahun lepas, walaupun pinjaman mereka telah diluluskan.

Susulan itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman memberi jaminan perkara tersebut akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung bulan ini.- BERNAMA