Malaysia Dateline

Isu kenderaan Toyota Vellfire dan Honda Accord: Apa kata pakar automotif?

Sejak kebelakangan ini, negara dilanda kontroversi dengan isu pihak kerajaan memerlukan 32 unit Toyota Vellfire bagi kegunaan menteri dan pegawai tinggi kerajaan serta 3,000 unit Honda Accord untuk kegunaan pegawai kerajaan.

Menerusi pemerhatian wartawan di media sosial, netizen nampaknya kurang berpuas hati dengan pengumuman tersebut yang dilihat sebagai satu pembaziran di saat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta rakyat dan penjawat awam ‘ikat perut’ demi mengembalikan kesejahteraan negara.

Hezeri Samsuri

Namun, bagaimana dengan pendapat pakar automotif? Baru-baru ini Malaysia Dateline (MD) mendapatkan secara eksklusif pandangan Pengurus Pengarang (Managing Editor) Careta Media, Hezeri Samsuri.

Untuk makluman pembaca, MD akan memulakan dengan Bahagian 1 terlebih dahulu iaitu dengan persoalan adakah Toyota Vellfire dan Honda Accord berada dalam ranking permintaan tertinggi kereta import oleh pengguna di negara ini? Dan adakah kerajaan membuat pilihan yang tepat dalam memilih kedua-dua jenis kenderaan tersebut?

Menurut Hezeri, terdapat sedikit ralat kerana Toyota Vellfire yang banyak dijual di Malaysia adalah daripada jenis unit import terpakai (reconditioned).

Beliau berpandangan, kerajaan tidak akan membeli unit import terpakai, sebaliknya membeli unit baharu daripada UMW Toyota sahaja.

“Saya tidak mempunyai maklumat mengenai kriteria dan spesifikasi pemilihan kenderaan-kenderaan tersebut, namun saya difahamkan kontraktor akan mencadangkan kenderaan-kenderaan itu dan pihak kerajaan akan menguji kereta-kereta berkenaan.

“Toyota Vellfire sebenarnya adalah sebuah MPV mewah yang mampu memuatkan lebih ramai penumpang daripada sebuah sedan.

“Maknanya, sebuah Vellfire mampu mengisi jumlah penumpang dua buah kereta sedan. Ia juga mempunyai ruang yang lebih luas dan menjadikan ia lebih praktikal.

“Saya kira tidak salah untuk menggunakan Toyota Vellfire, cuma dari segi imej iaitu sedan mewah adalah lebih sesuai. Namun begitu, kerana bajet, kerajaan terpaksa memilih Vellfire,” katanya.

Di sebalik cerita Toyota Vellfire, Hezeri yang juga wartawan automotif turut memberi pandangan beliau mengenai Honda Accord yang dikatakan untuk kegunaan pegawai kerajaan.

Katanya, Honda Accord adalah kenderaan sedan segmen D dan ia menggantikan kenderaan jenis Proton Perdana.

“Oleh kerana Proton tidak ada lagi model Perdana, maka kerajaan terpaksa memilih alternatif lain dan dalam kes ini, mereka memilih Honda Accord.

“Saya kira tidak ada salahnya kerana Honda Accord yang dibeli adalah dari generasi terkini yang lebih menjimatkan bahan api, lebih selamat dan lebih mesra alam berbanding dengan Perdana lama yang diasaskan dari Accord generasi kelapan,” jelasnya lagi.

Bersambung ke Bahagian 2: Kos penyelenggaraan kenderaan.