Malaysia Dateline

Isu keputusan mahkamah tentang kewarganegaraan kanak-kanak

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi di negara ini melakar sebuah sejarah apabila memutuskan kanak-kanak yang lahir di negara ini dari seorang ibu yang berwarganegara Malaysia yang bapanya/suaminya adalah warga negara asing layak diberi hak kewarganegaraan secara automatik.

Secara teori keputusan itu seolah-olah mengiktiraf prinsip “jus soli” (birthright citizenship) dalam konteks undang-undang kewarganegaraan.

Ada satu lagi prinsip yang para peguam sebut iaitu “jus sanguinis” – hak kewarganegaraan atas sebab/faktor ibu bapa/keturunan.

Agak ramai pihak yang mendesak Gomen Tebuk Atap Gagal 2.0 untuk tidak merayu ke atas keputusan tersebut.

Yang terbaru, YB Padang Rengas (Umno) meminta Gomen Tebuk Atap menarik balik rayuan.

Dilaporkan keputusan tersebut kini telah dirayu ke Mahkamah Rayuan.

Jujurnya, saya tidak pasti adakah isu ini akan kekal sebagai isu undang-undang atau sudah bertukar menjadi isu lain pula?

Dari sudut kemanusiaan, saya amat setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sebab ia dilihat cuba melindungi kebajikan kanak-kanak dan ibu yang tidak bersalah.

Tetapi, maaf dan dengan penuh hormat, saya tidak begitu pasti adakah ia keputusan yang betul dari sudut perundangan?

Umumnya dalam kes-kes yang melibatkan isu kekeluargaan, prinsip asas yang dipegang oleh mahkamah adalah kebajikan seorang kanak-kanak harus diberi keutamaan.

Setakat yang saya baca dalam media, kelihatannya mahkamah melihat adanya elemen diskriminasi dalam kes ini.

Seolah-olah sebuah peruntukan dalam Perlembagaan itu melanggar sebuah lagi peruntukan yang lain dalam Perlembagaan yang sama.

Saya belum membaca keputusan kes tersebut, lalu saya tidak pasti apakah “ratio decidendi” (alasan keputusan) sebenar kes tersebut.

Di sini, saya cuba mengelak daripada mengambil sikap populis semata-mata. Sebaliknya saya cuba bersikap objektif dan sebolehnya adil kepada kesemua pihak.

Saya cuba berlaku adil juga kepada Gomen Tebuk Atap Gagal 2.0 (walau saya amat tidak suka pada mereka) dan cuba memahami dilema besar mereka jika mereka tidak merayu.

Satu, adakah penafsiran isu Perlembagaan oleh Mahkamah Tinggi KL itu adalah betul dan muktamad ?

Jika diandaikan keputusan itu tidak betul, bagaimana? Sudah tentu perlu ada keputusan mahkamah yang lebih tinggi untuk membetulkan keputusan tersebut dan menjadi panduan atau rujukan tuntas untuk kes-kes sebegini pada masa hadapan.

Kedua, adakah isu ini hanya sekadar isu hak kanak-kanak atau ia juga adalah sebuah isu yang melibatkan penafsiran sebenar tentang status peruntukan undang-undang tertingi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan?

Dengan “kekecohan” yang berlaku sekarang, secara tidak langsung, ia juga berkemungkinan besar berpotensi memberi tekanan yang agak besar juga pada para hakim di mahkamah yang lebih tinggi. Adakah mereka ingin bersikap populis atau bagaimana?

Dan ini, mungkin tidak begitu baik dalam konteks penegakkan “rule of law”?

Apapun, kita tunggu, apakah penyelesaiannya nanti. Moga ada cahaya di hujung terowong dalam isu ini.

 

*MOHAMED HANIPA MAIDIN merupakan pengamal undang-undang juga Ahli Parlimen Sepang dan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.