Isu kerabat Pahang didakwa serang orang awam: Tengku Hassanal tidak akan lindungi mana-mana pihak

Oleh MALAYSIADATELINE

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan serangan fizikal melibatkan kerabat negeri itu, Jun lalu.

Tengku Hassanal bertitah, baginda memandang serius mengenai satu laporan berita mengenai individu dikenali sebagai Alias Awang yang didakwa diserang oleh seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan orang sehingga mendatangkan kecederaan.

Perkara tersebut dititahkan baginda menerusi satu kenyataan yang turut dimuat naik di platform media sosial Instagram melalui akaun rasmi Kesultanan Pahang pada Khamis.

“Saya memandang serius mengenai berita yang tular di media sosial mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan orang didakwa menyerang individu bernama Alias Awang menggunakan senjata tajam serta pistol sehingga mendatangkan kecederaan yang berlaku di Kuantan, Pahang.

“Justeru, saya menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan,” titah baginda.

Tengku Hassanal turut memberikan jaminan bahawa baginda tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan sebarang jenayah atau kesalahan undang-undang.

“Sekiranya terdapat bukti bahawa kesalahan dilakukan, ianya hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan. Semua pihak adalah sama di sisi undang-undang.

“Saya sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang.” Titah Tengku Hassanal dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Alias Awang menerusi pendedahan eksklusif bersama sebuah portal berita atas talian mendakwa telah menjadi mangsa serangan berkumpulan di sebuah kandang kuda di Kuantan, Jun lalu.

Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang berusia 44 tahun itu mengakui dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan kepada anak kerabat diraja Pahang untuk bertemu dengannya.

Alias kemudian diserang oleh kira-kira 20 orang termasuklah anak individu bergelar Tengku di mana salah seorangnya telah menikam peha kanannya dengan menggunakan pisau.

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku pada 6 Jun lalu itu, anak Tengku berkenaan juga dikatakan turut melepaskan tembakan ke arah kaki Alias namun tidak mengenai sasaran.

Serangan terhadap bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan dibuat susulan pertikaian berkaitan isu tanah yang berlaku di Rompin berikutan dirinya terlibat dalam pembinaan jalan di situ.

Laporan polis berhubung kejadian itu juga telah dibuat oleh Alias di Kuantan, Pahang pada 8 Jun lalu iaitu dua hari selepas kejadian di setelah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Alias yang mengalami kecederaan di bahagian paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki itu bagaimanapun menolak untuk ditahan di hospital, sebaliknya mahu melakukan penjagaan sendiri di rumah.

Pihak polis dikatakan telah membuka siasatan bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.

Dalam perkembangan terbaharu, Datuk Seri Yahaya Othman selaku Ketua Polis Pahang memaklumkan bahawa pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Hal ini berikutan kertas siasatan yang sebelum ini dihantarkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya telah dikembalikan untuk tindakan selanjutnya.

Baca juga: Sanusi akui bercinta dengan isteri kedua lepas kahwin, berkenalan sejak siasatan kes ini