Malaysia Dateline

Isu kerakyatan bayi: 13 MP rayu PM tarik balik rayuan untuk ketepi keputusan mahkamah

Sekumpulan Ahli-ahli Parlimen Malaysia merayu dan menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Peguam Negara menarik balik notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status kewarganegaraan automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara.

Kesemua 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu sepakat untuk tidak bersetuju dengan keputusan Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan bersama tengah hari ini.

“Hak kerakyatan sepatutnya diberikan kepada anak-anak yang lahir di luar negara, sama ada dari bapa ataupun ibu yang merupakan rakyat Malaysia.

“Sekiranya pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan adalah diperlukan, kami adalah komited untuk memberi sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada YAB untuk membawa kelegaan kepada para ibu dan anak-anak mereka yang menderita,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid;

Dari pembangkang, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng

Selain itu, turut melibatkan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahlu Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau

Sementara itu mereka menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi merupakan satu langkah progresif di dalam sistem perundangan Malaysia dan seharusnya disokong oleh semua pihak.

Ini kerana katanya, penafsiran perlembagaan sebelum ini adalah secara tidak langsung telah bersifat diskriminasi terhadap golongan wanita.

Pada 9 September 2021 yang lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir di dalam penghakimannya telah menyatakan bahawa perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu juga bermaksud “ibu”.

Pada 14 September, kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu bahawa wanita rakyat Malaysia boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.

Peguam Negara Idrus Harun berkata, notis rayuan ke Mahkamah Rayuan itu difailkan pagi hari itu.

Memorandum rayuan bagi menggariskan hujah berhubung kesilapan fakta atau undang-undang hakim itu akan difailkan sebaik penghakiman bertulis diperoleh.