Malaysia Dateline

Isu kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan lepas Anwar peroleh sokongan majoriti

Isu kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim sah memperoleh sokongan majoriti Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

Peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan, apabila rakyat menuntut sesebuah kerajaan melakukan perkara terhormat dengan mengemukakan usul undi percaya, ia sebenarnya untuk menghilangkan persoalan tentang ketidakstabilan politik.

Justeru apabila hal itu dibawa ke Dewan Rakyat, isu tersebut perlu diletakkan nokhtah supaya tidak terus dimainkan.

“Bagi saya kestabilan politik sudah hilang hak untuk dibangkitkan dari segi moralnya, keperlembagaannya atau perundangan

“Jadi, nokhtah perlu diletakkan terhadap isu kestabilan politik ini,” katanya dalam segmen Bicara Semasa yang membincangkan isu Usul Undi Percaya dan Memorandum Persefahaman, di Facebook Jom Channel malam tadi.

Mohamed Haniff juga percaya apabila perdana menteri terdahulu iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membenarkan usul percaya dibawa ke Parlimen, ia telah memberi persepsi buruk kepada rakyat.

Menurutnya, apabila seseorang perdana menteri menunjukkan bahawa dirinya seperti ketakutan, maka ia menampilkan satu lagi persepsi bahawa individu itu tiada sokongan majoriti.

“Kalau perkara itu dibawa secepat mungkin pada masa itu oleh kedua-dua perdana menteri yang lalu, maka ada kemungkinan sejarah tertulis dengan cerita yang lain.

“Namun ia tidak berlaku kerana mereka khuatir tidak berjaya dalam usul undi percaya. Itu persepsi yang muncul dalam minda rakyat tentang kenapa tak bawa (usul), takut hilang majoriti ke.

“Ini juga menimbulkan persepsi lanjut bahawa tiada kestabilan politik,” katanya.

Menyentuh tentang isu pelabur, Haniff juga berpendapat kegagalan dua perdana menteri yang lalu dalam menzahirkan usul percaya di mata rakyat antarabangsa menyebabkan ramai pelabur ragu-ragu untuk melabur di negara ini.

Tambahnya, jjka seseorang pemimpin politik tidak memikirkan diri sendiri dan sememangnya mementingkan kestabilan negara, maka sewajarnya usul undi percaya dibawa sejak awal.

“Kali ini pasca PRU15 adalah satu duluan yang perlu diikut. Jadi apa yang kerajaan buat sekarang ini akan dijadikan sebagai duluan dan ianya penting. Jangan lari dari paksi Perlembagaan sebab ia akan dituruti paksi masa depan.

“Sebab itu teguran pakar dalam bidang tertentu perlu diambil kira kerana ia adalah untuk kebaikan negara. Jangan ambil teguran sebagai cuba bermain politik. Yang mereka minta adalah kebaikan negara

“Jika ada cacat cela dan perkara tidak sihat, menjadi kewajiban perlu ditegur,” katanya lagi.

Baca juga: Surat terbuka Hadi ‘backfire’ diri lepas salahkan pengundi Islam tak keluar mengundi