Malaysia Dateline

Isu Khairuddin tidak kuarantin: GERAMM di 13 negeri buat laporan polis

Pertubuhan Gerakan Anak Malaysia Merdeka (GERAMM) hari ini membuat laporan di seluruh negara terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Presidennya, Shariful Azmir Mustafa berkata, antara Koordinator GERAMM negeri yang telah dan akan membuat laporan berkenaan adalah Hamizan di Negeri Sembilan, Aidil (Pulau Pinang 1), Aziz (Pulau Pinang), K. Azmi (Perak Utara) dan Amir Sabri (Perak Tengah).

Turut membuat laporan polis adalah Amar di Perlis, Azmir (Wilayah Persekutuan), Ashiq (Melaka), Husaif (Selangor), Hatta (Pahang), Firdaus (Johor), Habib (Kedah) dan Razeef di Sabah.

Menurut Shariful, kehadiran Khairuddin ke Parlimen pada 13 Julai lalu merupakan satu pelanggaran SOP dan mendatangkan ancaman yang mampu memberi bahaya kepada seluruh negara.

“Ia berikutan pada waktu yang sama, ratusan Ahli Parlimen lain dari seluruh negara telah berkumpul di Parlimen.

“Malah, statistik Covid-19 juga menunjukkan ketika kunjungan Mohd Khairuddin ke Turki, negara tersebut mencatatkan lebih 5,600 kes Covid-19 baru dan 93 kes kematian,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, pelanggaran SOP yang dilakukan oleh Khairuddin adalah amat serius dan wajar diambil tindakan menurut undang-undang tanpa kompromi.

Hukuman itu perlu, jelasnya, memandangkan rakyat biasa telah didenda sehingga ribuan ringgit dan terdapat juga mereka yang terus diheret ke mahkamah.

“Harapan kami adalah agar beliau dikenakan hukuman yang sama seperti beberapa individu yang dihukum sebelum ini yang mana ada diantara mereka didenda sehingga RM8,000 dan dihukum penjara.

“Kita tidak ingin ‘double standard’ dalam memberikan hukuman walaupun individu berkenaan seorang menteri,” tegas Shariful lagi.