Malaysia Dateline

Isu kitab Injil: MP Pas mohon maaf kepada penganut Kristian

Selepas dihukum dengan tidak mendapat sebarang kerusi dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri Sabah, ahli Parlimen Pas Pasir Puteh, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh mengambil keputusan memohon maaf.

Beliau menarik balik perkataan “dipesongkan”, yang merujuk kepada kitab Injil, yang digunakannya ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada hujung Ogos lalu, yang menyentuh sensitiviti penganut Kristian.

Nik Muhammad Zawawi  membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat hari ini susulan kenyataan kontroversinya mengenai kitab Injil sebelum ini.

Wakil rakyat Pas itu berkata, beliau tidak berniat untuk mengguris hati mana-mana pihak khususnya penganut Kristian berhubung kenyataannya mengatakan kitab Injil sudah ‘dipesongkan ataupun diubah’.

“Saya mohon maaf jika ada yang terguris, saya tidak berniat begitu. Apa yang saya niat saya adalah hendak pertahankan kitab Injil asal yang diturunkan kepada Nabi Isa, tanpa ada sebarang perubahan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat itu memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuat pada 26 Ogos lalu.

Nik Zawawi semasa perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 mengenai pemandu mabuk ketika itu mendakwa kitab Injil “dipesongkan” dan penganut Kristian tidak mempunyai “hak untuk tersinggung”.

Menurutnya, langkah kerajaan untuk meminda undang-undang tidak boleh dianggap sebagai masalah agama kerana tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum alkohol.

“Dari apa yang saya pelajari mempelajari agama perbandingan, tidak ada kepercayaan yang membenarkan penganutnya meminum alkohol. Tidak ada agama. Bukan agama Buddha, Hindu atau yang lain membenarkannya.

“Ini tidak seharusnya menjadi isu sensitif bagi penganut agama lain,” kata Zawawi.

Dia kemudian ditegur oleh anggota parlimen Beruas, Ngeh Khoo Ham, yang berkata agama lain membenarkan pengambilan alkohol tetapi tidak sampai ke tahap mabuk.

Zawawi bagaimanapun menolak penjelasan Ngeh, dengan alasan bahawa “sebelum Injil dipesongkan, agama Kristian telah melarang alkohol”.

Pas tidak mendapat sebarang kerusi dalam PRN Sabah ekoran kebimbangan dari rakan-rakannya, BN dan PN, Pas akan menyebabkan mereka ditolak oleh pengundi beragama Kristian di Sabah.

Sebelum itu, Pas menuntut 10 kerusi untuk PRN Negeri Sabah.

Namun kedua-dua rakannya, Umno yang memimpin BN dan Bersatu yang memimpin PN tidak berani memberikan sebarang kerusi untuk Pas dalam pilihan raya itu ekoran kenyataan Nik Zawawi di Parlimen.

Pas dijanjikan akan diberikan kerusi Adun lantikan. Selepas BN dan PN menang, Setiausaha Perhubungan Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan telah dilantik sebagai Adun dalam DUN Sabah.