Malaysia Dateline

Isu kitab Injil Nik Zawawi disiasat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh membabitkan kitab Injil.

Siasatan dibuka selepas adanya laporan polis dibuat terhadap anggota Parlimen Pas itu, di mana keterangan saksi juga telah diambil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas siasatan selesai.

“Kita buka kertas siasatan sebab ada laporan polis dibuat di Sarawak…Keterangan saksi telah dirakam.

“Sekarang kita tunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung media yang digunakan untuk menularkan isu itu,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berhubung kenyataannya terhadap isu kitab Injil.

Sebelum ini, Nik Muhammad Zawawi menerusi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.

Beliau kemudian dicelah oleh Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan itu tidak tepat dengan memberitahu bahawa agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Nik Muhammad Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil ‘dipesongkan atau diubah’.