Malaysia Dateline

Isu Komunis: Zainul Rijal ke Bukit Aman bantu siasatan polis

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengesahkan kehadirannya ke Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan berhubung isu komunis yang diperkatakan kebelakangan ini.

Difahamkan, beliau dipanggil pihak polis untuk mendapatkan pandangannya selepas artikel beliau pada 8 December lalu yang bertajuk ‘Komunis Bukan Wira’ disiarkan oleh salah satu media tempatan.

Jelasnya, ia juga berkait dengan pandangannya terhadap majlis memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 di sebuah dewan di Kajang 1 Disember lalu dan abu mayat Chin Peng.

“Saya ditanya berhubung dengan artikel Komunis Bukan Wira yang disiarkan di Sinar Harian, dan diminta untuk memberikan kerjasama berkaitan dengan tulisan tersebut.

“Saya bukan dipanggil sebagai salah seorang saspek. Tetapi, kerana adanya laporan polis dibuat terhadap abu mayat Chin Peng dan perjumpaan yang menyokong Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang.

“Saya pula menulis berkaitan dengan perkara tersebut, jadi pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas meminta pandangan saya sebagai Presiden Persatuan Peguam Muslim dan juga sebagai pengamal undang-undang,” katanya kepada Malaysia Dateline

Sementara itu, Zainul memaklumkan, beberapa individu lain juga dikatakan akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pakar sejarah dan juga pakar perundangan bagi membantu siasatan pihak polis.

“Saya percaya pihak polis meminta kerjasama ini untuk mendapatkan pandangan dan juga pendekatan bagaimana untuk menangani kes seperti ini.

“Sebagaimana dalam artikel saya, saya mendesak pihak berwajib untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau badan yang cuba untuk menghidupkan semula PKM.

“Saya harap artikel tersebut dapat jadi pemangkin supaya pihak berkenaan itu dapat dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya.

Hari ini, Zainul hadir kira-kira 2 petang untuk diambil keterangan oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya memanggil Zainul Rijal hari ini untuk membantu siasatan.

“Kita ingin mendapat pandangannya sebagai seorang peguam berkaitan isu abu Ching Peng dan perjumpaan bekas anggota PKM bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Zainul Rijal ada menulis artikel menyatakan komunis bukanlah wira yang perlu dijulang sebaliknya pengkhianat negara, merosakkan negara dan mahu menjajah dengan menerapkan ideologi komunis mereka di negara ini.