Malaysia Dateline

Isu kontena mayat Covid-19: #SanusiKoyak sokong warga emas ditahan reman

Warganet dilihat mencemuh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor susulan penahanan seorang warga emas yang mengecam pemimpin Pas tersebut.

Lelaki berusia 61 tahun terbabit ditahan di Lenggeng, Negeri Sembilan pada 3.57 pagi semalam susulan laporan polis yang dibuat Pegawai Khas Menteri Besar Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki itu yang menggunakan akaun ‘Kamal Hero Malaya’ di Facebook dipercayai memuat naik video berdurasi kira-kira sembilan minit mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Sanusi.

Sehubungan itu, rata-rata warganet mempertikai sikap di pihak Sanusi yang boleh pula ‘bergurau’ mengenai penggunaan kontena sejuk beku untuk mayat Covid-19.

Peguam Syahredzan Johan juga dalam reaksinya mengaitkan isu kontena jenazah yang disebut Sanusi sebelum ini.

“Lagi orang kena tangkap sebab kecam MB Kedah. MB Kedah buat jenaka masuk kontena jenazah, okay pulak,” katanya hari ini.

Pengguna Twitter @fhmiariss pula berpendapat maruah Sanusi sudah tercemar dengan perangai dia sendiri.

“Dia sendiri yang tonjolkan kebodohan dia,” katanya.

Sementara itu, @profgenius91 berkata, “Sanusi ni ada reputasi yang membanggakan ke? Tanya je jangan marah.”

Ada juga yang mengaitkan undang-undang syariah yang juga umum dipanggil hudud dengan sikap pemimpin Pas.

“Macm ni nak buat hudud? Hmm… lupakanlah…,” kata @hakimremli1.

Dalam masa sama, kalangan warganet juga berpendapat penahanan warga emas itu lebih berperikemanusiaan dilakukan selepas Subuh.

“3.57 pagi kena tahan! Macam penjenayah besar dibuatnya,” kata @jefrisani25.

Reaksi simpati awam juga mendoakan agar warga emas itu dipermudahkan susulan tindakan pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut.

“Sama-sama kita doakan keselamatan beliau. Berani kerana benar punya orang. Salute,” kata @headsink.

Dalam satu sidang media pada 6 Ogos lalu, Sanusi antara lain menyebut, “Kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama.”

Keesokannya, dia memohon maaf selepas menerima kecaman dan menyifatkan jawapan yang diberikan itu merupakan antara gurauannya dengan kumpulan wartawan yang sudah memahami karakternya sebelum ini.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook yang kemudiannya juga tular di Twitter, lelaki itu antara lain menyifatkan wakil rakyat Pas tersebut sebagai bodoh.

“Eh Sanusi, aku nak beritahu, sidang media ni (pada 6 Ogos) main-main ke? Satu Malaysia tengok… Brunei, Singapura pun tengok.

“Satu Menteri Besar yang tiada akal macam sekolah tak tinggi, macam tak pi sekolah” kecamnya selain beberapa ungkapan lain lagi.

Ekoran laporan polis yang dibuat Pegawai Khas Menteri Besar Kedah itu, telefon bimbit milik lelaki berkenaan dirampas dan pemeriksaan mendapati dia turut memiliki rekod lampau yang masih disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pihak polis dilapor akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dan kes tersebut akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.