Isu KP SPRM: Ismail Sabri mahu tutup kelemahan

Oleh Oleh AMNI JAGAT

Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang enggan menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dianggap sebagai langkah mahu menutup kelemahan pentadbirannya.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Johor, Syed Othman Abdullah, Ismail mahu menyembunyikan prestasi kerajaannya yang lemah ketika ini dari diketahui umum khususnya dalam bidang yang membabitkan intergriti pentadbiran beliau.

“Kenapa tidak mahu tubuhkan badan bebas sedangkan pelbagai pihak sudah mempertikaikan berkenaan hal tersebut dan pelbagai bukti telah dijelaskan.

“Sememangnya alasan yang diberikan Azam Baki itu terlalu lemah dan ini memerlukan siasatan khusus dari badan bebas. Apa yang Ismail cuba sembunyikan? Adakah beliau tidak mahu kelemahan pentadbirannya diketahui umum?

“Perkara ini tidak masuk akal dan sebagai perdana menteri beliau perlu bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah yang berbangkit ini,” katanya.

Di sebalik gesaan pelbagai pihak agar sebuah badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat pegawai tertinggi SPRM, perdana menteri sebaliknya berpendapat tiada keperluan untuk itu sekarang.

Menurut Ismail, sistem yang ada ketika ini memadai untuk menjalankan siasatan tersebut dan meminta agar orang ramai memberikan proses berkenaan berjalan.

Katanya, SPRM mempunyai tatacara sendiri untuk mengendalikan kes tersebut iaitu melalui siasatan dalaman Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Malah kata Ahli Parlimen Bera itu lagi, Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia dan polis juga sedang menjalankan siasatan masing-masing, justeru proses tersebut wajar diberikan ruang.