Malaysia Dateline

Isu kritik MB Kedah: KANUN negeri sedia bantu mereka yang didakwa

Biro Kanun AMANAH Negeri Kedah bersama Pemuda AMANAH negeri itu bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang ditahan ataupun didakwa berkait isu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di mahkamah.

Melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan Mohd Ridzwan Arshad Ahmad selaku Ketua Pemudanya serta Saiful Ambrar Abdullah, Pengerusi Biro Kanun AMANAH negeri, mereka menyatakan rasa simpati terhadap nasib individu-individu yang telah ditahan reman atas dakwaan ‘menghina’ MB Kedah.

“Tindakan menahan dan menyiasat individu-individu terbabit merupakan satu bentuk intimidasi untuk membisukan dan menekan suara para pengkritik MB Kedah.

“Sebagai ahli politik Sanusi harus sedar bahawa kritikan, teguran dan kecaman merupakan perkara biasa yang perlu ditelan dan dihadam bukannya bertindak mengikut emosi dengan menggunakan kuasa yang ada.

“Ini juga merupakan satu tindakan memalukan dan menjadi detik sejarah hitam negeri Kedah di bawah pentabiran PN yang diterajui oleh Sanusi buat julung-julung kalinya,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, ketidakpuasan hati rakyat terhadap urus tadbir dan kenyataan hodoh serta bodoh pemimpin PN telah mengguris hati rakyat khususnya di negeri Kedah menyebabkan mereka berani menzahirkan komen, kritikan dan teguran melalui laman sosial sedia ada tatkala ini.

Sejajar dengan itu Pemuda AMANAH negeri bersama Biro KANUN siap siaga membantu siapa sahaja yang memerlukan membabitkan isu tersebut.