Malaysia Dateline

Isu Kuil: Jangan keluarkan kenyataan berbaur perkauman, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta semua pihak bertenang serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat perkauman, kebencian dan menghasut berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights dekat sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata berdasarkan kenyataan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor, kekecohan tercetus akibat pertembungan dan perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak membabitkan unsur perkauman.

“Saya telah menghubungi Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dan beliau memberi jaminan pihak polis akan melakukan siasatan terperinci ke atas insiden yang berlaku. Kerajaan negeri yakin pihak polis akan melaksanakan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya.

Saya mengecam sebarang tindakan biadap yang melampaui batas undang-undang sekali gus mencetuskan keresahan penduduk setempat dan rakyat negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amirudin berkata kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan sebarang anasir yang mahu menggugat ketenteraman dan keamanan negeri itu.

Sehingga kini, tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis berhubung kekecohan yang dikatakan berpunca daripada perselisihan antara dua kumpulan hingga menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.