Isu kuota matrikulasi tidak harus berbangkit lagi

Isu kuota matrikulasi tidak harus berbangkit lagi

Beberapa hari ini heboh berkenaan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semasa beliau menjawab soalan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) sama ada kerajaan bercadang untuk melonggarkan sistem kuota bagi kemasukan ke program matrikulasi pra universiti.

Maszlee dilaporkan berkata “Matrikulasi hanya jalan untuk pergi ke universiti, seperti mana STPM, Pusat Asasi, diploma dan juga lain-lain jalan lagi. Sebab itulah matrikulasi walaupun lebih mudah kita berikan peluang untuk mereka belajar lebih daripada itu, untuk orang yang kurang kemampuan, sebab itu matrikulasi diwujudkan.

“Kalau kini kita nak ubahkan (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.

Menurutnya lagi, isu kuota ini tidak boleh dilihat secara terpisah dan jika inginkan keadilan untuk semua maka peluang yang saksama juga perlu diberikan kepada semua orang yang memohon pekerjaan.

Jawapan ringkas beliau itu telah mengundang pelbagai reaksi ramai. Ada yang mengecam dan ada yang menyokong beliau. Pihak yang mengecam beliau menyatakan bahawa tidak sepatutnya Maszlee mengaitkan sistem kuota matrikulasi dengan syarat untuk mendapatkan pekerjaan.

Ini kerana ianya adalah dua perkara yang berbeza. Sistem kuota matrikulasi dikatakan telah menidakkan keupayaan kaum Cina dan India untuk sama-sama belajar dan mengupayakan pendidikan. Sepatutnya, orang Cina dan India yang berkebolehan sama-sama mendapat peluang untuk belajar.

Bagi yang menyokong Maszlee pula menyatakan bahawa kaum Cina dan India tidak sepatutnya mempersoalkan isu kuota matrikulasi kerana ianya adalah sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu. Tindakan mereka yang ingin mengurangkan kuota bumiputera untuk memasuki matrikulasi dianggap sebagai menyentuh isu sensitif.

Sebenarnya, kedua-dua pandangan ini mempunyai merit yang tersendiri. Sebaliknya, pertelingkahan yang berlaku ini sebaliknya adalah berpunca daripada kebebasan bersuara yang wujud dalam media sosial.

Kebebasan bersuara yang tidak terkawal ini telah menyebabkan banyak berlaku salah faham sehingga menyebabkan fakta sebenar isu ini telah dipinggirkan dan digantikan dengan fakta yang tidak betul.

Ini kerana pihak cybertrooper terutamanya di kalangan pembangkang telah membuat provokasi yang tidak benar dengan menyatakan bahawa DAP telah menjadi dalang untuk mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu dan Islam. Permainan sentimen sempit ini telah melarat sehingga mengganggu emosi orang ramai.

Antara perkara yang tidak benar disebarkan adalah daripada seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan sendiri yang menulis bahawa Maszlee harus dipertahankan daripada serangan DAP.

Asas yang diambil oleh pensyarah itu adalah daripada cicipan seorang pimpinan tertinggi DAP yang mengatakan buah fikiran Maszlee itu sebagai bodoh dan seorang pimpinan DAP lain yang menyamakan Maszlee sebagai pimpinan Umno yang lama.

Padahal yang sebenarnya yang dikatakan serangan DAP itu bukanlah satu serangan tetapi hanyalah sekadar respon biasa sahaja. Barangkali, pimpinan DAP itu perlu menilai kembali cara penulisan itu supaya ianya tidak diputarbelitkan oleh mereka yang tidak senang dengan kerajaan PH sekarang.

Selepas itu, timbul pula berita palsu yang menyatakan bahawa DAP telah melancarkan kempen untuk menggantikan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan. Meskipun, berita ini telah dinafikan oleh pemimpin DAP ianya tetap berlegar dalam media sosial. Berita ini sebenarnya telah dipetik daripada sebuah blog hantu yang tidak tahu asal usulnya.

Berbalik kepada isu kuota matrikulasi ini, Kabinet telah pun membuat keputusan untuk mengekalkan kuota 90:10 bagi bumiputera dan bukan bumiputera dengan tindakan positif untuk menaikkan jumlah tempat daripada 25,000 kepada 40,000 orang. Sepatutnya, isu kuota ini tidak lagi berbangkit.

Bagi Maszlee sendiri sewajarnya beliau tidak menyamakan isu adil ini dengan membandingkan jumlah kuota dan soal penawaran kerja kepada mereka yang tidak berbahasa Mandarin. Ini kerana isu kuota itu adalah dalam kuasa yang di bawah Kementerian Pendidikan tetapi isu pekerjaan adalah berbangkit daripada pihak swasta dan bukanlah dalam kawalan kerajaan.

Justeru, dalam hal ini kedua-dua pihak sama ada Maszlee atau pemimpin DAP sepatutnya lebih bijak dalam mengeluarkan kenyataan supaya ianya tidak diputarbelitkan oleh pihak pembangkang. Pihak pembangkang pastinya akan mencari kelemahan pemimpin kerajaan untuk meraih sokongan politik terhadapnya.

Rakyat harus bijak bahawa Perlembagaan telah memberikan orang Melayu kedudukan istimewa di bawah Perkara 153 dan rakyat juga harus tidak mempedulikan bancian untuk menukar seseorang Menteri kerana ianya di bawah kuasa prerogatif Perdana Menteri dan bukannya berdasarkan petisyen dalam talian.

 

* Artikel ini dipetik dari akhbar Mingguan Amanah Edisi 153, 26 Mei – 1 Jun 2019.