Isu KWSP pekerja Bubble Bee rupanya belum selesai, berhutang dari 2022 hingga 2023

Oleh WAN SITI AMINAH

Tunggakan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan kedai rangkaian minuman, Bubble Bee rupanya masih belum selesai.

Syarikat minuman yang diasaskan oleh pelawak dan usahawan selebriti iaitu Shuib itu dikatakan masih berhutang dengan pekerjanya dari tahun 2022 sehingga 2023.

Perkara itu sekali lagi dibongkarkan oleh pemilik akaun TikTok yang sebelum ini menularkan surat layang mengenai tunggakan KWSP pekerja Bubble Bee iaitu @penuntutkeadilan.

Berharap isu tersebut segera diselesaikan, pemilik TikTok tersebut turut memetik ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah mengenai kewajiban umat Islam membayar hutang.

“Hutang KWSP dari tahun 2022 sampai 2023 belum lagi dilangsaikan. Dekat dunia ini bolehlah terlepas, tetapi bukan di akhirat nanti. Itulah bahayanya hutang.

“Perlu diingatkan bahawa ayat yang paling panjang di dalam al-Quran adalah mengenai hutang iaitu surah Al-Baqarah, ayat 282. Jangan ambil mudah biarpun sekecil mana pun hutang tersebut.

“Ia boleh menghalang anda untuk masuk syurga. Jangan ambil hak orang. Yang haram tetaplah haram. Semoga orang-orang yang berkenaan mendapat hidayah daripada Allah SWT,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, ramai bekas kakitangan Bubble Bee mula membuka suara mengenai penderitaan dialami selama bekerja di syarikat tersebut.

“Saya bekas penolong pengurus Bubble Bee di cawangan Setapak. Sudah bekerja selama setahun pun langsung tidak dibayar KWSP,” kongsi seorang pengguna.

“Saya bekas pekerja Bubble Bee, lebih banyak merana daripada bahagia. Terlalu banyak hak-hak kakitangannya dizalimi.” Komen pengguna lain berkongsi ceritanya.

Terdahulu, Shuib yang juga bekas penyampai radio mengaku syarikat minuman yang diasaskannya iaitu Bubble Bee sedang mengalami masalah pengurusan kewangan.

Masalah ini dipercayai menjadi punca berlakunya kelewatan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kakitangan syarikat berkenaan.

Namun pada November tahun lalu, pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu mengeluarkan kenyataan bahawa isu tunggakan caruman KSWP sudah pun selesai.

Pelawak berusia 40 tahun itu berkata, pihaknya sudah berhubung dengan KWSP bagi pembayaran secara ansuran selain pekerjanya juga dimaklumkan mengenai hal tersebut.

Baca juga: Uyaina dapat wang tunai daripada Raja Permaisuri Agong, tapi jumlah duit di tangan Permaisuri pula dikira netizen