Minggu lalu, rakyat muslim di beberapa budah daerah di India dilapor membuat himpunan bantahan terhadap negara mereka yang mengenakan larangan berhijab ketika di dalam kelas. Mereka menganggap tindakan itu seperti mahu menyingkirkan komuniti muslim India yang berjumlah sekitar 13 peratus dari penduduk India yang majoriti beragama Hindu.
Susulan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) didesak untuk segera campur tangan terkait dengan penindasan yang berlaku terhadap kaum minoriti muslim yang berada di negara tersebut.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan tiga NGO iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Masjid Sedunia Mempertahankan Al-aqsa (MANAR), dan Persatuan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), mereka mengecam keras sikap ektrimis Hindu berideologi Hindutva (suprimasi Hindu) yang mengapi-apikan sentimen kebencian sehingga penganut mereka menyerang umat Islam sewenang-wenangnya.
Mereka tidak menafikan bahawa tanda-tanda genosid bakal berlaku di India setelah ucapan dan saranan pembenci untuk menghapuskan umat Islam,, terang-terangan diucapkan.
“India nampaknya sedang mengulangi sejarah penghapusan Muslim di Sepanyol pada 1612, malangnya ketika itu, empayar Islam dan beberapa benua gagal membantu mempertahankan Islam di Sepanyol.
“Hindu Nazi pada tahun 30 an dan 40 an meneliti untuk meniru kaedah yang sama seperti di Sepanyol dan kelompok kasta teratas Hindu sudah lama mencari jalan menghapuskan umat Islam yang merupakan golongan minoriti terbesar di India.
“Kini polisi menindas dan diskriminatif sedang disasarkan ke atas umat Islam seperti Akta Pindaan Kerakyatan, Pendaftaran Kerakyatan di Assam, undang-undang larangan menyembelih lembu, larangan memakai hijab dan larangan menunaikan solat Jumaat di lokasi tertentu,” kata mereka.
Kenyataan tersebut dibuat bersama, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi MANAR, Datuk Seri Ahmad Awang dan Pengerusi SHURA, Datuk Abdul Ghani Samsudin.
Sementaran itu, kerajaan India pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) di bawah Narendra Modi, juga didakwa membiarkan ucapan dan kempen membenci Islam semakin berleluasa di negara itu sehingga mengundang kepada serangan ganas seperti memusnahkan masjid, menangkap dan membunuh orang Islam termasuklah merogol.
Ketiga-tiga pertubuhan tersebut turut menggesa kerajaan Malaysia menyuarakan sikap tegas dan menuntut supaya kerajaan India menghentikan keganasan yang sedang berlaku serta bertindak mendakwa mereka yang terlibat.
Tegas mereka lagi, pemimpin Islam Pakistan, Indonesia, Turki dan Qatar turut digesa agar memberi perhatian serius kepada perkembangan umat Islam di India.
Mapim, MANAR dan SHURA juga akan menggembeleng seluruh institusi Islam seperti masjid di Malaysia untuk bangkit menyatakan bantahan serta siap menggerakkan kempen antarabangsa bagi menyelamatkan dan mempertahankan hak umat Islam di India