Isu logo PH: SPR usah jadi ‘terompah’ BN

Isu logo PH: SPR usah jadi ‘terompah’ BN

Biro Undang-Undang (KANUN), Parti Amanah Negara (AMANAH) memandang serius kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkaitan isu penggunaan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) oleh calon-calon Pakatan Harapan (PH).

Seperti yang dilaporkan oleh Bernama semalam, Pengerusi SPR itu dilaporkan berkata, “PH perlu mendapatkan kebenaran SPR berkaitan penggunaan satu logo sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)”.

Demikian kata, Pengerusi KANUN, Wan Anwar Wan Ibrahim dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, KANUN menyatakan bahawa kenyataan Pengerusi SPR itu bercanggah dengan undang-undang pilihan raya seperti mana yang dinyatakan dalam Peraturan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)1981.

“Peraturan itu antara lain menyatakan SPR melalui pegawai pengurusnya hendaklah, atas permintaan mana-mana calon menguntukkan kepadanya suatu simbol parti.

“Dengan syarat calon itu telah mengemukakan suatu kebenaran bertulis yang ditandatangani oleh seorang pegawai parti itu yang bertanggungjawab membenarkan calon itu menggunakan simbol parti itu bagi maksud pilihan raya itu,” kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH itu.

Katanya lagi, KANUN menyatakan bahawa penggunaan logo PKR bagi semua calon PH adalah tidak bercanggah dengan undang-undang meskipun calon yang bertanding menggunakan logo PKR itu bukanlah ahli PKR.

“Asalkan Presiden atau Setiausaha Agung PKR mengeluarkan watikah kebenaran penggunaan logo parti itu sudah memadai bagi maksud penggunaan logo itu semasa tempoh pilihan raya.

“Ini kerana logo PKR itu adalah logo yang telah didaftarkan dengan SPR semenjak beberapa kali pilihan raya yang lepas,” tambahnya.

Jelas beliau, dalam hal ini, komponen parti PH telah mengumumkan penggunaan logo yang sama bagi semua calon di Semenanjung Malaysia iaitu logo PKR bagi maksud PRU14 ini.

Pengumuman tersebut tambah beliau, nampaknya telah menggusarkan Barisan Nasional.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor iaitu Setiausaha Agung Barisan Nasional dalam reaksi segera mengatakan bahawa tindakan PH itu adalah kononnya bagi menyembunyikan DAP daripada pandangan orang Melayu, kata beliau.

“KANUN berpandangan adalah tidak wajar Pengerusi SPR menjadi penyambung lidah BN dan menjadi ‘terompah’ tempat BN berpijak untuk menjalankan taktik-taktik kotor menjelang berlangsungnya PRU14.

“SPR haruslah menjadi badan bebas seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya SPR masih menjalankan kerja-kerja menjadi ‘terompah’ BN maka panel peguam KANUN tidak akan teragak-agak untuk menyaman SPR dan membawa SPR kembali ke landasan undang-undang.

6.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.5