Malaysia Dateline

Isu logo PRU15: Howard Lee tegur PKR Wilayah supaya angkat semangat kerjasama

Timbalan Ketua Pemuda Harapan, menegur sayap PKR Wilayah Persekutuan berhubung gesaan mereka agar Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Howard Lee berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu webinar anjuran UPKO pada 3 September yang lalu telah pun menyatakan keputusan PH, di mana sebaik mungkin perlulah ada satu logo yang disepakati kerana ia terbukti jauh lebih berkesan dari bertanding berasingan.

Dalam webinar tersebut, Anwar juga telah meminta sedikit masa untuk menyampaikan pandangan tersebut kepada semua jentera partinya, kata Howard.

“Malah, rakan-rakan komponen juga telah bersetuju untuk memberi masa kepada Datuk Seri untuk menerangkan kepada akar umbi PKR berkenaan hala tuju ini.

“Keputusan di Majlis Presiden itu dicapai setelah adanya perbincangan yang panjang lebar semenjak bulan Mei 2021 lagi. Meskipun ia sudah mengambil masa yang lama, kita harus akur bahawa keputusan tetap keputusan.

“Berbekalkan semangat tanggungjawab kolektif serta daya upaya untuk menurut arahan Presiden PH agar bekerjasama sebagai satu pasukan, kita mesti bertolak ansur dan menerima keputusan jemaah untuk terus mara ke depan bersama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 7 September, PKR di seluruh cabang Wilayah Persekutuan menggesa PH menggunakan logo dan bendera parti itu pada PRU-15 yang akan datang.

Perkara itu dinyatakan 26 Ahli Majlis Pimpinan Negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR Wilayah Persekutuan yang mewakili 40,873 anggota PKR seluruh Wilayah.

Antara yang menyuarakan cadangan tersebut adalah Ketua AMK WP, P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu); Ketua Cabang Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa); dan Datin Dr. Tan Yee Kew (Ahli Parlimen Wangsa Maju).

Mereka berkata, ketetapan tersebut diambil atas prinsip yang boleh membawa kemenangan kepada PH, dengan menyifatkan bahawa logo PKR merupakan satu jenama yang dikenali di seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, Howard menyeru agar sayap-sayap PKR meneliti dan akur dengan kenyataan Anwar serta keputusan PH yang secara jelas turut terpakai bagi PKR Wilayah Persekutuan.

“DAPSY juga ingin menasihati supaya butir-butir keputusan seperti yang telah dimaklumkan kekal dibincangkan secara dalaman; demi menjunjung kerukunan antara komponen yang telah terbina sekian lama.

“Semangat kerjasama yang ada ini masih perlu terus diangkat, dan bukannya sengaja memberi laluan tekan-menekan secara konfrontasi yang akhirnya meniup kita ke arah kemudaratan,” ujarnya lagi.