Malaysia Dateline

Isu lompat parti: MCA sambut baik cadangan MP Umno

MCA menyifatkan cadangan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkenaan cadangan meminda Akta Pilihan Raya supaya kawasan pilihan raya ditandingi parti politik dan bukan individu sebagai berasas.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata syor Ahli Parlimen Padang Rengas itu sekiranya diperhalusi dapat membantu menyelesaikan isu lompat parti.

“Itu adalah cadangan kreatif, mungkin dapat menyelesaikan masalah lompat parti tetapi akan juga membuka ruang untuk masalah baharu.

“Mungkin betul kadang-kadang dalam Pilihan Raya Umum ramai yang mengundi calon mereka mengikut lambang parti. Tetapi tidak kurang yang mengundi berdasarkan watak individu calon itu,” dipetik BH hari ini.

Sin Woon berpendapat pemimpin parti pula mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menukar sesiapa yang mereka suka jika ditukar kepada parti sepenuhnya.

“Ini pula tidak mencerminkan semangat demokrasi,” ujar bekas calon BN dari MCA bagi kerusi Parlimen Seremban pada PRU-14 itu.

Semalam, Nazri mengesyorkan pindaan dibuat kepada Akta Pilihan Raya supaya sesuatu kawasan pilihan raya ditandingi oleh parti politik, bukannya individu.

Hujah Nazri ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, langkah itu bagi menghentikan budaya lompat parti, menghalang daripada runtuhnya parti serta membanteras rasuah.

Pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk keluar parti.

TumbangĀ 

Semasa Pakatan Harapan (PH) menguasai pentadbiran Putrajaya sejumlah Ahli Parlimen Umno meninggalkan parti tersebut selepas menemui kepimpinan Bersatu.

Di Sabah, Umno lumpuh pada akhir tahun 2018 apabila Pengerusinya ketika itu, Datuk Hajiji Mohd Noor keluar parti dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian.

Kerajaan PH pula tumbang pada Februari lalu selepas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 Ahli Parlimen mewakili PKR mengisytiharkan keluar parti dan PH bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Kerajaan PH Melaka pula tumbang apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia dari PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis, dan ADUN Pengkalan Batu dari DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Di Perak, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan seorang ADUN AMANAH pada 9 Mac lalu mengisytiharkan keluar dari parti masing-masing dan mengumumkan sokongan kepada PN.