Isu LRT: Lembaga pengarah, pengurusan kanan Prasarana dicadang letak jawatan – Kadir

Oleh KIM SYAZIE

Pihak yang bertanggungjawab ke atas Prasarana Malaysia Berhad dicadang meletakkan jawatan susulan kelemahan pengurusan perkhidmatan LRT yang telah menjejaskan ribuan penumpang.

Kelewatan pihak Prasarana dalam menyampaikan maklumat awal berhubung kegagalan fungsi LRT laluan Kelana Jaya tempoh hari telah membangkitkan kemarahan ramai yang terpinga-pinga dengan situasi tersebut menyebabkan ribuan penumpang terkandas ketika waktu puncak.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berpandangan, wajar untuk lembaga pengarah dan pengurusan kanan Prasarana meletakkan jawatan atau dirombak organisasi mereka, termasuk mereka yang memegang jawatan di dalam kementerian pengangkutan.

“Ini kerana aset utama yang diamanahkan kepada mereka iaitu LRT sudah menjadi bahan jenaka dan makian. Orang putih kata, “butt of a joke”.

“Sudah layak diberikan jolokan “least reliable transportation”. Sudah tidak boleh diharapkan lagi.

“Rasanya sudah lebih setahun “unreliability” menjadi standard baru kepada perkhidmatan pengangkutan massa di ibu negara itu,” ulasnya pendek dalam hantaran di Facebook.

Beliau juga mengkiritik mengatakan pihak-pihak yang bertanggungjawab terlihat seperti tidak merasa apa-apa apabila digelar makan gaji buta.

Ketika ini, sebahagian besar rakyat Malaysia mula memberi tekanan kepada lembaga pengarah dan pemimpin utama Prasarana untuk berundur dan menukar kepimpinan melalui satu petisyen yang telah dilancarkan.

Petisyen itu membangkitkan bahawa tiada komunikasi sewajarnya dibuat oleh pasukan di MyRapid dan tiada kemas kini diberikan sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penumpang.

Pihak RapidKL kemudia memutuskan untuk mengemas kini, bagaimanapun tanpa sebarang justifikasi atau penjelasan dibuat mengenai punca gangguan itu.

Baca juga: 16 stesen LRT ditutup, satu petisyen dilancarkan minta Pengurusan Prasarana berundur

Baca juga: Bas bergerak perlahan masuk ke longkang lepas bunyi meletup, 17 penuntut UPSI cedera