Malaysia Dateline

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Isu LTTE: Adakah wujud dakwaan ‘terpilih’?

Tuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Dap yang bersabit penglibatan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), menimbulkan persoalan adakah wujud sebarang dakwaan ‘terpilih’ dalam kes kontroversi ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, tuduhan tersebut menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai mengapa kerajaan seolah-olah mengamalkan pendakwaan terpilih.

“Ini kerana, individu lain yang berjawatan lebih tinggi turut terbabit dalam majlis ‘Heroes Day’ tetapi tidak didakwa.

“Bagi memastikan keadilan dilihat terlaksana, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy perlu didakwa kerana terlibat dalam majlis ‘Heroes Day’ yang telah diadakan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Sebagai contoh, dalam satu muatnaik pada 27 November 2015, Dr P Ramasamy memuatnaik secara terbuka dalam Facebook beliau gambar-gambar penglibatannya dalam majlis ‘Heroes Day’ di Pusat Khidmat Dap Perai.

“Majlis ‘Heroes Day’ yang Dr P Ramasamy hadiri itu adalah dibuat di Pusat Khidmat Dap, maka pastilah ia melibatkan Dap itu sendiri,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan penahanan dua Adun Dap dan 10 yang lain, Mohd Khairuddin menyambut baik dakwaan yang telah dikenakan kepada mereka atas pertuduhan bersabit penglibatan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pada 10 Oktober lalu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, dipercayai ada hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka.

G Saminathan, merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang bertanggungjawab kepada portfolio sumber manusia dan Adun kawasan Gadek, manakala Adun Seremban Jaya, P Gunasekaren, ditahan Bukit Aman, bersama seorang pemimpin NGO India dari Perak.