Malaysia Dateline

Isu LTTE: Peguam Negara diharap tidak campur tangan urusan siasatan

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas diharap tidak mencampuri sebarang urusan berkaitan siasatan kes kontroversi melibatkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perkara itu disuarakan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya yang menyifatkan LTTE adalah gerakan haram dan perlu diambil tindakan secepat mungkin.

“Kami lihat penyokong-penyokong mereka sudah berani berkumpul dan keluar sambil menyatakan bahawa mereka itu sebenarnya bukan pengganas, tetapi terbukti kenyataan tersebut satu penipuan apabila pihak polis telah berjaya mengeluarkan bukti-bukti berkaitan kes itu.

“Jadi, kami harap, bukti-bukti yang dikeluarkan pihak polis kali ini, mencukupi untuk menangkap dan meletakkan mereka di dalam penjara selama yang mungkin.

“Kalau peguam negara campur tangan, kita akan berarak sekali lagi di depan pejabatnya. Itu amaran kami kepada pihak yang mempunyai kepentingan dalam konteks ini.

“Biar ‘kepala-kepala’ ini tidak lagi membuat hasutan kepada rakyat yang kononnya mereka nak menuntut kepada kebebasan. Ini bukan kebebasan, ini menjahanamkan negara!,” tegasnya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum Selamatkan Malaysia Daripada Ancaman Pengganas di hadapan Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau menyerahkan memorandum tersebut kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul yang mewakili pihak kerajaan, manakala pihak pembangkang diwakili Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Memorandum itu antara lain menyuarakan tentang kebimbangan rakyat terhadap gerakan LTTE dan berharap keselamatan negara dipandang serius, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya kepada yang terlibat.

Sehubungan itu, Aminuddin berharap wakil-wakil yang ada pada hari ini terus membangkitkan isu ini di peringkat parlimen supaya ianya diwarta dan disahkan bahawa LTTE ini adalah gerakan haram yang perlu diambil tindakan segera.

Dalam isu berkenaan, Johari berkata, pihaknya akan memastikan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Sudah tentu kami akan melihat secara mendalam dan kita tidak akan berkompromi tentang keselamatan negara.

“Kita juga mengenal pasti bahawa ada undang-undang yang telah pun Parlimen luluskan berhubung dengan bagaimana kita hendak mengendalikan isu-isu berkaitan keganasan ini, katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa isu keselamatan jangan sesekali dijadikan isu perkauman yang akhirnya akan menjurus kepada konflik perkauman.

“Isu asal adalah keselamatan, bukan isu kaum. Bila cuba dibawa kepada isu perkauman, ia telah menjejaskan hubungan kaum-kaum di negara ini,” katanya lagi.