Isu MB Johor: Membongkar ‘fatwa’ yang belum ditunai

Isu MB Johor: Membongkar ‘fatwa’ yang belum ditunai

Kecoh bumi terselatan Semenanjung Malaysia dengan khabar Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Osman Sapian yang bakal melepaskan jawatan tertinggi di negeri itu. Desas-desus segala nama tersembur dari mulut pelbagai pihak yang mahukan tempat itu berada di bawah taklukan mereka.

Hakikatnya tidak pula masing-masing melihat bahawa jawatan itu adalah amanah rakyat yang mahu melihat bumi Johor dipimpin oleh manusia yang benar-benar memiliki ketokohan sebagai seorang pemimpin ‘waras’.

Inilah kisah sebenar sehingga tercetusnya suara-suara garang yang menolak kepimpinan Osman kerana suara masyarakat umum melihat beliau tidak selayaknya menduduki jawatan itu. Perlu direnung untuk mereka yang bakal menduduki takhta itu agar segala permasalahan rakyat secara umum harus diselesaikan.

Berbangkitlah ingatan pada kisah lama ketika masing-masing bersusah payah untuk mendapatkan kuasa. Terjadinya di rumah Pengerusi PH Johor (sebelum PRU14) yang mana janji-janji ditabur dengan manis sekali mengalahkan manisnya tebu dara di ladang.

Janji atau yang saya gelarkan ‘fatwa’ yang berbunyi ‘mana-mana parti majoriti Melayu di antara tiga parti (AMANAH, PKR dan PPBM) yang memenangi kerusi terbanyak maka merekalah yang akan diberi hak untuk memilih MB di kalangan mereka’.

Fatwa itulah yang menjadi pegangan kepada pihak yang akan bertanding dalam kancah PRU14 lalu. Harus diingat fatwa tersebut dikeluarkan dari mulut Pengerusi PH Johor dan bersaksikan atap serta lantai rumahnya sendiri.

Selain itu perlu juga diingat, fatwa itu turut menggariskan berkenaan ‘kerusi yang banyak dimenangi’ bermaksud bukan kerusi dari Adun yang lompat parti. Namun, alangkah mahsyurnya selepas kemenangan PH di Johor, fatwa itu secara langsung hangus terbakar apabila AMANAH yang memenangi kerusi terbanyak di antara tiga parti dalam kerusi Dun dinafikan hak mereka.

Jelas sekali keputusan PRU14 menunjukkan AMANAH menguasai 9 Dun, PPBM (8) dan PKR mendapat 5 Dun. Ini secara terang menunjukkan AMANAH adalah parti yang patut diberi laluan sebagai MB tapi ia tidak berlaku.

Ternyata Dato Salahuddin Ayub di antara nama yang dihantar tertolak walaupun terdapat desakan rakyat secara umum di Johor yang mahukan beliau sebagai MB Johor ketika itu. Mungkin wujud jalan licik yang membabitkan pihak tertentu untuk mencaturkan soal pelantikan MB di Johor dalam episod lalu.

Namun segalanya jelas sekali, bara yang selama ini digenggam rakyat kini kian marak apabila kemuncaknya tatkala desas-desus khabar angin yang menyatakan bahawa MB Johor bakal ditukar. Maka berlakulah lobi sana sini yang dilancarkan bagi meraih peluang untuk mendapat mandat selaku MB Johor.

Harus diingat, fatwa yang dikeluarkan masih belum tamat tempohnya dan sekarang ini adalah masa yang terbaik untuk menunaikan fatwa itu agar tidak memakan diri seperti sebelum ini.

Berkumandanglah gerakan yang dahulunya sepi kini mula bersuara dengan menyatakan ‘aku yang layak’ dan ‘aku yang lebih baik dari si dia’.

Siapa yang layak?

Ayuh kita semak kembali apa yang dituturkan dari bicara masyarakat atau rakyat mengenai kepimpinan ‘idaman’ mereka.

Dalam pemerintahan hampir setahun PH di Johor terdapat pelbagai penambahbaikan serta perkara yang positif kepada rakyat telah dilakukan secara bertungkus lumus oleh pihak pimpinan. Ini tidak dapat dinafikan seperti isu RMMJ atau RMB, pendidikan sekolah agama, kad peduli sihat, keusahawanan, keprihatinan tentang alam sekitar yang memfokuskan rakyat dan pelbagai lagi.

Namun semuanya itu ditutup atau tertutup dengan jolokan kurang manis terhadap perilaku dan intergriti MB. Rata-rata masyarakat lebih terfokus kepada permasalahan MB sehinggakan kebaikan yang dilakukan tidak dapat dilihat dengan jernih oleh masyarakat umum.

Apa masalah MB itu rasanya tidak elok untuk disebut namun itulah batu sempadan yang membuatkan masyarakat mengukur prestasi kerajaan PH di Johor. Maka dari itu, kini sudah tiba masanya untuk PH melihat semula apakah kehendak masyarakat terhadap pimpinan di Johor.

Dalam ukuran masyarakat umum, mereka melihat hanya dua parti dari PH yang dilihat sebagai kukuh. Dua parti itu adalah AMANAH dan DAP. Ini jelas dilihat oleh masyarakat kerana mereka mengukur setiap pretasi dan mereka jelas meletakkan harapan kepada kedua-dua parti itu.

Secara umum, DAP bukanlah pilihan yang ideal bagi masyarakat umum dan mereka juga akui masih belum tiba masanya penerimaan mereka secara kolektif terhadap parti itu untuk menrangkul jawatan MB.

Kini pilihan itu terletak di bahu AMANAH yang dilihat sebagai parti yang mempunyai integriti serta bervisi. Jika dilihat, pakej yang diletakkan oleh AMANAH di Johor adalah sempurna dengan pembabitan wanita (Islam dan Melayu), anak muda serta pimpinan berlatar belakangkan pendidikan yang baik ia cukup untuk mengubat hati masyarakat.

Tokoh seperti, Salahuddin Ayub, Aminolhuda Hassan, Khairuddin A Rahim, Sr Dzulkefly Ahmad, Mazlan Aliman, Suhaizan Kaiat, Norhayati Bachok (AWAN), Taqiuddin Cheman (Pemuda), Dr. Sulaiman Mad Nor, Dr Faizul, Mohd Said Jonit dan juga para ustaz yang kesemuanya itu mula diintai oleh masyarakat umum.

Bukan itu sahaja, kaum bukan Melayu juga turut menyenangi AMANAH di mana parti itu dilihat sebagai parti yang mampu menerima ahli di kalangan bukan Melayu. Asas perjuangan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa AMANAH telah berjaya meyakinkan masyarakat khususnya di Johor untuk memberi peluang kepada mereka menyebarkannya.

Saya tidak mahu menulis pandangan masyarakat terhadap dua parti lagi (PPBM dan PKR) kerana ia agak mengeruhkan. Namun apa objektif masyarakat perlu diambil berat oleh PH Johor agar segala kepincangan tidak lagi dilihat oleh masyarakat.

Sekiranya pengeluar fatwa tersebut masih mengenang janjinya maka inilah masa terbaik untuk ia menunaikannya. Jika lembu berpegang pada talinya, manusia berpegang pada janjinya.