Isu MB Johor: Pengerusi PKR negeri anggap kerajaan PH masih kukuh

Isu MB Johor: Pengerusi PKR negeri anggap kerajaan PH masih kukuh

Parti-parti politik pembangkang di Johor dinasihatkan supaya tidak mengeruhkan keadaan kerana Pakatan Harapan (PH) masih lagi kukuh.

Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat negeri itu perlu bertenang kerana pada masa ini tiada krisis politik ekoran peletakan jawatan Menteri Besar (MB), Datuk Osman Sapian.

“Kerajaan PH di Johor masih kukuh kerana PH mempunyai 39 dari 56 kerusi Dun (Dewan Undangan Negeri).

Hassan Abdul Karim

“Umno-BN tiada hak untuk kemukakan petisyen kepada Sultan untuk bubarkan Dun maupun menentukan siapa calon MB Johor,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, Umno-BN telah menghina kuasa Sultan dengan mencadangkan nama calon MB sedangkan Sultan belum menjawab surat permohonan peletakan jawatan Datuk Osman.

“Pihak yang berhak untuk mengemukakan cadangan nama MB yang baru mestilah datang dari PH iaitu parti yang menang majoriti Dun Negeri Johor.

“Semua pihak perlu tenang dan bersabar, manakala Umno-BN jangan sengaja hendak menangguk di air yang keruh sehingga mencetuskan seolah-olah seperti krisis perlembagaan pula.

“Negeri Johor bergerak mengikut hukum dan kedaulatan undang-undang serta perlembagaan, sama ada ianya Perlembagaan Persekutuan bagi Malaysia dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dalam soal kuasa Sultan untuk melantik MB, ” tegasnya.

Kata Hassan lagi, calon-calon MB mestilah dari kalangan anggota Dun yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya.

“Parti politik yang memenangi kerusi terbanyak berhak kemukakan nama atau calon yang dipercayai mendapat sokongan ahli Dun.

‘Sungguh pun begitu, mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Sultan mempunyai kuasa untuk memilih siapa yang Baginda perkenan untuk dilantik sebagai MB.

“Sehubungan itu bagi mengelak berlakunya krisis perlembagaan, adalah lebih elok bagi Sultan untuk memilih calon yang diketengahkan kepada Baginda untuk dilantik menjadi MB,” ujarnya.

Menurut Hassan, sekiranya calon-calon yang dikemukakan kepada Sultan oleh parti politik yang menang majoriti ditolak oleh Sultan dan memilih calon lain, maka adalah dibimbangi keadaan ini akan mencetuskan krisis perlembagaan di Johor.

Oleh kerana itu sarannya lagi, adalah diharapkan situasi ini tidak akan berlaku.